Nuffnang

Pengikut

Isnin, 9 November 2009

Pada suatu hari......Aku......


Ibu merupakan sumber inspirasi bagi sesebuah keluarga. Kehadirannya menceriakan hidup kita. Hari-hari yang berlalu menjadikannya lebih bermakna dengan kehadiran seorang insan agung yang bernama ibu. Engkaulah segalanya wahai ibu.

Namun kehilangannya secara tiba-tiba menyentap seluruh denyut nadi dan jantung sehingga menjadikan kita terasa seolah-olah terbuang jauh ke suatu daerah asing. Hidup seolah-olah tiada arah dan terus hanyut dan hanyut di laut lepas.

Bagi aku kehilangan ibu amat dirasai oleh aku, ayah dan adik perempuan aku yang baru nak mengenal dunia. Bayanglah pada ketika dia masih bermanja dan saban hari bermain bersama arwah ibu, tiba-tiba segalanya hilang dan berubah sekelip mata.

Tiada lagi tempatnya bermanja, tiada hilai tawa emak aku melihat keletah manja adik perempuan aku. Antara kalimat akhirnya kepada ayah aku ialah menjaga adik perempuan aku sehingga menjadi orang berjaya seandaninya dia tiada lagi didunia ini.

Antara orang yang paling gembira apabila mengetahui ibu aku mengandung lagi ialah arwah Datuk aku. Habis satu kampung di war warkan tentang kehadiran cucu terbarunya. Namun satu episod sedih juga berlaku apabila belum sempat dia melihat kelahiran adik aku dia lebih awal dijemput oleh penciptaNya.

Adik aku memang sentiasa dimanjakan. Ditatang umpama minyak yang penuh. Saban hari emak aku akan begurau dan bermain dengan adik aku yang sorang ni. Terbayang diwajahnya akan kegembiraan tersebut.

Begitu juga dengan adik aku seolah sedetik pun tak mahu melepaskan ibu aku. Cukup akrab keduanya. Pendek kata suasana kegembiran sentiasa menyelubungi keluarga aku dengan kehadiran adik aku yang sorang ni.

Namun takdir tuhan menentukan segalanya. Dikala adik aku masih menagih kasih-sayang seorang ibu, akhirnya ibuku juga menurut jejak langkah arwah datuk aku setelah terlantar stroke selama beberapa bulan.

Pada suatu hari kira-kira setahun selepas ibu meninggalkan kami sekeluarga aku meminjam kereta ayah aku disebabkan kereta aku mengalami kerosakan. Sambil memandu aku memasukkan kaset lama ke dalam radio. Sangkaan aku tentulah lagu 60-an memandangkan selalunya dalam kereta ayah aku kalau tak lagu 60-an dah tentu lagu P. Ramlee.

Sangkaan aku meleset. Aku tergamam, terdiam dan terbungkam sebaik-baik mendengar suara-suara keluar daripada sound radio kereta. Sedar-sedar mata aku tiba-tiba bergenang dengan air mata. Rupanya kaset tu merupakan rakaman suara ibu aku yang sedang bergurau senda dengan adik aku. Agak lama juga rakaman tersebut.

Terdengar juga dalam kaset tersebut ibu aku sedang mengajar adik aku menyanyi lagu kegemaran adik aku ketika itu iaitu lagu setia. Setiap kali ibu aku menyanyi adik aku akan mengikutnya dengan pelat. Antaranya bait lagunya yang dinyanikan olah adik aku dalam keadaan pelat ialah Puji dan cukur pada ilai.... Sambil ibu aku menyahut dengann gelak tawanya. Bahang suasana kegembiraan dan suasana mesra antara adik aku darn arwah ibu dapat aku rasakan.

Aku terpaksa memberhentikan kereta kerana perasaan yang bercampur baur antara rindu kepada arwak emak dan simpati kepada adik perempuan aku. Tuhan sahaja yang tahun perasaan aku ketika itu. Tak terucap dengan kata-kata.

Mendengar suaranya aku dapat membayangkan betapa sayangnya arwah emak aku kepada adik perempuan aku dan yang aku tak boleh bayangkan bagaimana adik aku yang sorang ni hendak melalui kehidupan seterusnya tanpa kasih sayang dan sentuhan seorang ibu.

Ya Allah berikanlah kepadanya kekuatan menempuh hari-hari yang mendatang. Betapa bertuahnya mereka yang masih mempunyai insan agung bernama ibu tidak sebagaimana adik aku yang kehilangan seorang ibu dalam usia yang sangat muda. Apalah yang dimengerti oleh insan cilik ini tentang ketabahan, kesabaran dan menerima seadanya selain hanya mengharap kasih sayang dan perasaan manja daripada seorang ibu.






4 ulasan:

  1. Sedih baca entri nie.. teringat mak sendiri di kampung.. walaupun dia masih ada.. tapi terasa juga dia jauh dimata dan tak dapat nak jenguk selalu. Bila kita kehilangan seseorang yang paling penting dalam hidup pastinya hingga bila2 pun kita akan terus ingat semua kenangan bersama dia

    BalasPadam
  2. memang terasa terutamanya pada saat menyambut hari raya dan lebih terasa pada pagi raya. Selalunya emak lah orang yang paling sibuk pada pagi raya. Tiba-tiba suasana tersebut hilang buat selama-lamanya.
    Dlu aku hanya mendengar cerita orang tentang rasa kehilangan tersebut. Kini aku sendiri merasainya.

    BalasPadam
  3. Peringatan untuk yang masih punya ibu....jagalah hati ibu, selagi hayat dikandung badan.....

    BalasPadam
  4. betul tu, sukar nak menggambarkan perasaan kehilangan ibu yang tersayang. Jiwa terasa kosong, banyak perkara yang dibuat serba tak kena

    BalasPadam

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...