Nuffnang

Pengikut

Sabtu, 30 Oktober 2010

ALPHA : Terima kasih Tuhan


Kejadian hilang barang memang kerap kali berlaku. Memang memeritkan apabila barang memang hendak kita gunakan hilang. Sedangkan kita amat pasti yang barang itu memang sudah diletakkan ditempat yang sepatutnya. Kadang-kadang hati rasa panas juga memandangkan mengapa barang tersebut hilang sedangkan kita amat pasti barang tersebut telah diletakkan di tempat yang selalu diletakkan.

Umpamanya kejadian bulan lepas apabila bukti pembayaran aku melalui ATM iaitu resit untuk satu seminar hilang. Sedangkan aku amat pasti bahawa semua resit-resit pembayaran selalunya aku letakkan di dalam bekas khas di rumah atau pun di dalam beg duit. Ngelabah juga dibuatnya.. maklumlah tanpa resit tersebut aku terpaksa membayar sekali lagi untuk menghadiri seminar tersebut.

Habis semua bahagian rumah dipunggah untuk mencari resit yang cenonoit itu. Setelah kecewa mencarinya... aku pun pun mohon di dalam hati secara berbisik kepada tuhan dengan proses diulang-ulang ala-ala teknik Alpha yang diajar oleh Dr. Azizan... Tak sampai beberapa minit tiba-tiba aku ternampak resit tersebut betul-betul di atas lantai. Aku tak pasti sama ada resit itu memang ada di situ ataupun ,............. Sebab sebelum itu sudah beberapa kali aku lalu di lantai tersebut. Namun apa pun sebabnya terjumpa resit tersebut aku tetap berterima kasih kepada tuhan.

Kejadian kedua baru berlaku sebentar tadi...... Esok aku kena attend seminar Osman Affan. Semasa aku hendak keluar rumah untuk menghantar surat jemputan ke Bidor untuk satu program NGO tiba-tiba kunci kereta aku tidak dijumpai.. Alamak macam mana ni... esok pagi-pagi nak ke KL. Jenuh juga aku mencarinya.... Aku semakin gabra... jenuh tempat-tempat yang aku rasa ada kunci tersebut aku geledah.

Memang setiap kali sampai ke rumah aku meletakkan kunci tersebut di dua tempat sahaja. Di meja makan atau dalam kotak berhampiran PC aku... Namun setelah berpuluh kali aku mencari di dua tempat tersebut dan ditempat-tempat lain akhirnya aku mengalah dan berasa letih. Sekali lagi aku berbisik pada tuhan dengan bisikan yang berulang-rulang...

Kemudian perasaan ini rasa seperti ingin mencari semula di dalam kotak berhampiran PC aku. Di bawah kotak tersebut memang ada laci tempat aku menuyimpan dokumen dan bahan-bahan personel aku. Sebelum ni pun aku dan anak aku sudah mencarinya di situ . Apabila kau tarik laci tersebut sambil menguis beg kecil berwarna hijau yang terdapat di dalamnya tiba-tiba ternampak kunci tersebut... Sekali lagi aku mengucapkan terima kasih tuhan... terima kasih tuhan..

Yang menghairankan aku laci tersebut memang bertutup... jarang dibuka... dan memang tak pernah aku meletakkan kunci tersebut memandangkan laci tersebut terdapat di bahagian bawah... Apa pun terima kasih tuhan.... Kadang-kadang berguna dan menjadi juga teknik Alpha ini... Sekali lagi TERIMA KASIH TUHAN... dapat le aku ke KL esok untuk menimba ilmu daripada Osman Affan sifu aku.....

Isnin, 25 Oktober 2010

Mencari kelazatan cinta al-Fatttah dalam Zikrullah


Zikir penyuci hati, penenang jiwa dan juga merupakan kunci dalam kejayaan hidup. Mulut yang basah dengan Zikrullah merupakan menifestasi cinta hamba kepada pencipta. Setiap kalimat yang memuji-muji kebesaran Allah mampu membersihkan jiwa daripada sifat mazmumah. Membersihkan jiwa merupakan perkara yang paling sukar dilakukan. Hanya mereka yang mahu dan berusaha mencarinya akan berjaya menemui sinaran cahayanya.

Secara tidak sedar semakin lama kita berzikir dengan asma-asma tuhan sebenarnya kita sedang masuk dalam kelazatan zikrullah. Semakin lama semakin asyik dan maksyuk, semakin lama semakin terbit rasa cinta yang mendalam, semakin lama semakin dekat rasanya dengan Rabul Jalil.. Sesungguhnya di sebalik setiap nama dalam asma Allah terdapat keistimewaaan yang sangat luas dan dalam yang berada di luar jankauan akal manusia.

Hanya Jauhari yang mengenal maknikam, hanya mereka yang buat merasakan kelazatannhya dan hanya mereka yang mahu akan bertemu sesuatu dalam Zikir Asma Allah. di dalam mencari ketenangan dan menghapuskan sifat pelupa serta gugup berzikrlah dengan zikir Ya Rahman yang bermaksud yang Maha Pengasih.

Untuk melindungi diri daripada penyakit hati seperti sombong, irihati dan dengki maka berzikikirlah dengan zikir Ya Quddus yang bermaksud Yang Maha Suci. Bagi menguatkan rohani dan jasmani serta terhindar daripada segala penyakit maka berzikirlah dengan Zikir Ya Salam yang bermaksud Yang Maha Sejahtera. Untuk mendapatkan minda yang cerdas maka berzikirlah dengan zikir Ya Rasyid yang bermaksud yang maha bijaksana.

Untuk dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya maka berzikirlah dengan zikir denga Zikr Ya Akhir yang bermaksud yang maha Akhir. Bagi mencapai kesemua kejayaan dalam hidup maka berzikirlah dengan zikir Ya Allah. Seluruh makhluk di angkasa, di dalam laut, sel-sel di dalam badan atau di mana jua berada dalam smesta raya Allah s.w.t akan turut sama-sama berzikir memuji dan membesarkan kebesaran Allah. Mahluk Alalh yang ada di angkasa turut bertawaf seperti mereka yang bertawaf di sekeliling kaabah.

Apakah kita mahkluk yang amat kerdil ini kalau dibandingkan dengan berbillion-billion makhluk Allah di jagat raya sana terlalu sombong dan angkuh untuk berzikir kepadanya. Apabila kita mahu dan mula berzikir Allah akan membuka hati dengan rasa cinta dan mengurniakan kelazatan rasa berzikir itu kepada hambanya. Insyallah mari kita sama-sama mencari kelazatan cinta al Fattah dalam Zikrullah Asma al-husna......

Sabtu, 23 Oktober 2010

Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) 23.10.2010

Menghadiri kursus dalam perkhidmatan pagi tadi atau ringkasnya LADAP cukup bermakna buat aku. Ada pelbagai perkara yang sangat menggembirakan juga sesekali menyentuh hati aku. Setiap aktiviti yang dijalankan mendapat kerjasama yang amat baik daripada semua Cikgu. Bagi aku semua cikgu amat amat dan amat sporting. Pengetua, penolong kanan, guru kanan dan cikgu-cikgu memberikan kerjasama yang amat baik.

Terharu sungguh aku melihat semua cikgu bekerjasama dan bersatu hati menjalankan semua aktiviti tanpa banyak rungutan. Kalau nilai ini diamalkan dan diserapkan dalam tugas seharian nescaya sekolah aku akan kembali berada pada landasan kecemerlangan. Perasaan ini bercampur baur antara terharu dan gembira.

Kalau program ini boleh dipanjangkan kepada 2 ke 3 hari nescaya nilai kerjasama, kesepakatan dan semangat bekerja satu pasukan akan dapat diterapkan dalam organisasi sekolah. Aktiviti senamrobik merupakan aktiviti pembuka tirai dan diakhiri dengan aktiviti Flying Fox.

Namun di sebalik semua itu ada peristiwa yang menyedihkan apabila salah seorang guru sekolah aku terlibat dalam kemalangan jalan dan cedera parah. Pada pagi tadi cikgu tersebut sempat mengikuti semua aktiviti yang dijalankan. Namun malam tadi aku mendapat tahu dari seoarang kawan yang mengatakan rakan sekerja aku ni accident di Bidor. Seorang anaknya koma dan seorang lagi anaknya patah kaki. Manakala Cikgu tersebut patah tulang rusuk dan terpaksa dihantar ke hospital Ipoh.

Semoga semua pembaca Blog dapat mendoakan Cikgu tersebut dan anak-anaknya selamat dan cepat sembuh......

Khamis, 21 Oktober 2010

Hati sesejuk salju


"Hati akan menjadi tenang apabila kita tidak mencari-mencari kesalahan orang lain". Entah macam mana tiba-tiba kalimat tersebut muncul dalam pemikiran aku semasa aku sedang mengingatkan anak lelaki aku yang suka sangat mencari kesalahan adik perempuannya. Kadang-kadang aku naik risau melihatkan sikapnya yang suka sangat mencari kesalahan orang lain.

Antara sebab orang yang suka mencari kesalahan orang lain yang pernah akau baca ialah untuk menutup kelemahan sendiri. Sebanarnya perkara ini berlaku saban hari di sekeliling kita. Mencari yang negatif lebih seronok daripada mencari yang positif. Tambahan pula apabila kita dapat membuka aib orang atau cerita yang menjadi rahsia hidup seseorang maka lebh kuatlah perkara tersebut dicanangkan.

Di dalam ESQ ada satu konsep yang di sebut Zero Mind Proses. Zero Mind Proses merupakan proses ke arah pembersihan hati. Supaya kita membuang semua nilai yang tidak baik dan hati cuma diselubungi dengan nilai yang baik seumpama kabus putih yang sentiasa menyelubungi gunung pada waktu pagi yang sejuk, tenang dan mendamaikan.

Namun kita terpaksa mengakui hakikatnya bukan senang ke arah Zero Mind Proses. Banyak cabaran dan dugaannya ke arah itu. Apa yang kita boleh lakukan hanya berusaha, berusaha dan terus berusaha.. andai kata kita mula menunjukkkan tanda-tanda untuk kembali ke tabiat lama maka cepat-cepat kita menghentikan perkara tersebut dan berusaha semula ke arah Zero Mind Proses.

Sementara itu di dalam NLP pula pula ada menerangkan tentang tujuan sesuatu perkara itu asalnya positif. Semua perkara buruk yang hendak dilakukan asalnya berniat positif. Aku tak mahu menerangkan perkara ini dengan lebih lanjut takut nanti ada yang terkeliru. Hanya dengan menghadiri kelas NLP sahaja baru kita dapat memahami perkara tersebut. Secara ringkasnya NLP mengajak kita melihat sesuatu perkara itu daripada sudut yang positif.

Kalau di dalam ajaran agama Islam kita digalakkan supaya sentiasa bersangka baik atau disebut Husnuzzan. Dengan hanya kita bersangka baik hati akan menjadi lebih tenang. Kita tidak akan lagi mencari-mencari kesalahan orang lain. Anda buat anda dapat. Sama ada Zero Mind Proses, pandangan positif dalam NLP atau Husnuzzan semuanya mempunyai maksud dan tujuan yang sama ke arah mendidik hati manusia ke arah fitrah semulajadinya iaitu KETENANGAN.....

"Hak eleh engkau apa Hal"

"Hek elek enkau apa hal" ini tag line baru kat sekolah aku yang diperkenalkan oleh Markonah. Aku sendiri pun dah tersampuk dengan tag line ini. Sama ada Markonah diusik orang atau Markonah mengusik orang inilah yang akan keluar dari mulutnya. Sampaikan pelajar kat kelas Markonah semuanya dah hafal Tag line tersebut. Apabila keluar je perkataan "Hek eleh" yang lain akan menyambut "engkau apa hal".

He he agak lucu mengenangkan tag line tersebut yang semakin menjadi fenomena kat sekolah aku. Maka kedengaranlah si sana sini "Hek eleh engkau apa hal". Kehadiran Markonah di mana-mana sahaja ruang di sekolah aku pasti memberi impak yang sangat besar. Suaranya jelas kedengaran. Suaranya seperti halilintar membelah bumi setiapkali diusik atau dia yang mengusik orang lain.

Sejak cctv di pasang di sekolah aku Markonah sudah mengurangkan sikapnya yang selalu keluar kelas ikut suka hati dia. aku agak kehairanannya juga pada mulanya. Adakah Markonah sudah berubah sikap. Aku cuba mencari punca dan sebabnya mengapa dia kurang keluar kelas. Aku pun bertanya kepada Markonanh "Konah ngape kamu kurang sangat merayo". "Jawab Markonhan dengan suaranya yang gegak gempita "iiiiii saya maleh cikgu... takut bende tu.... nanti kantoi ngan Cikgu'.
Jenuh juga aku memikirkan bende apa. Tambah Markonah lagi "ala benda tu le cikgu yang tengah pasang-pasang tu" sambil tanganya menunujuk ke arah atas. Oh baru aku paham ropanya CCTV yang dimaksudkan Markonah. Bagus juga CCTV ni sekurang-kurangnya Markonah tak de kerap merayau ke bilik guru mencari cikgu sepanjang masa. Namun tak tau le pulak aku berapa lama Si Markonah tu boleh bertahan dengan keadaan demikian.

"Cikgu Markonah dah ada Boyfriend" kata salah seorang anak murid aku. Aku pun bertanya kepada Markonah "Ye ke konah". Dengan tersipu-sipu dan penuh bersopan Markonah berkata "Mana ada Cikgu... deme saja je" jawapan itu disusuli dengan senyuman yang penuh menguntum. Akhirnya Markonah mengakui juga sambil bercerita tentang boyfriendnya itu. Kata Markonah lagi "Kadang-kadang kalau saya tak jumpa ngan dia, dia merajuk cikgu" Huh kata hati aku hebat juga Markonah ni , boyfriendnya siap boleh merajuk-rajuk pulak. Ilmu apa yang markonah pakai.

Dalam hati aku berkata "ada juga orang yang sukakan Markonah ni". Walaupun kalau dimbas secara fizikal payah rasanya ada orang yang akan minat pada Markonah ni. Kata seorang rakannya "Saya tak tau le macam mana si Bee Bee tu boleh minat ngan Markonah, Kalau saya mintak nyawa Cikgu". Mendengar perkataan mintak nyawa aku terasa amat geli hati kerana siapa yang pernah jumpa ngan Markonah akan faham maksud perkataan minta nyawa atau tak cukup oksigen... he he "Hek eleh Engkau apa hal"......

Ahad, 17 Oktober 2010

Pesta Konvo UPSI dan Kelantan Fried Chicken+ Ais Lemon Asam Boi

Hari ni merupakan hari kedua aku ke UPSI untuk merasai kehangatan Pesta Konvo UPSI. Semalam aku singgah di Pesta Konvo tersebut pada pukul 11.30 malam. Banyak kedai yang hampir tutup. Aku tak berapa puas hati kerana kehadiran aku semalam hanya membawa anak lelaki nombor satu aku.

Hari ni merupakan hari balas dendam habis satu family aku angkut. Mula-mula round di kawasan menjual baju, kasut dan segala macam barangan yang aku sendiri tak dapat nak senaraikan. Banyak sangat. Antara yang aku ingat kek lapis Sarawak... yang lain agak kabur dari ingatan.

Sebelum melihat persembahan kebudayaan di pentas utama aku sekeluarga bersantap dulu di bahagian makan-makan korner yang ada pelbagai juadah. Yang ni aku boleh listkan kerana otak aku amat segar melihat semua makanan yang lazat. Bermula dengan Char Kuew Teow, Aneka Sup, Nasi ayam, Aneka air, laksa, sate, KFC dan Nasi Minyak + Nasi kerabu.

Antara menu yang paling lazat dan mengancam keselamatan dalam negara ialah KFC.... Perghhhhh dari jauh aromanya menyucuk deria bau dan menembus ke alam makrifat... KFC ini shortform Kelantan Fried Chicken..Rasanya sangat sempurna sesempurna bulan purnama yang mengambang penuh.

Sambil pekena KFC sambl minum air lemon asam boi... Perghhh satu gabungan mantap seperti gabungan bergu badminton Razif dan Jailani pada satu masa dahulu. Sedang menikmati hidangan paling mantap di pesta konvo UPSI, semua pengunjung-pengunjung di makan-makan korner dihiburkan dengan lagu rock kapak dari sound yang berdentum-dentum.

Apalagi sebelah tangan aku laju mengetuk perlahahan bahagian atas bangku plastik sambil mengikut irama. Bermula dengan lagu Pawana, XPDC, UKAYS dan Ramli Sarip. Terasa seperti ada pentas konsert dihadapan mata aku. Ternampak-nampak gelagat Amy menyanyikan lagu Pawana. Selepas itu terasa-rasa pula pula kenyaringan suara Mael XPDC dalam konsert funfair.

Apabila tiba lagu teratai Ramli Sarip aku agak touching sikit memandangkan lagu ini banyak sangat nostalgianya bagi aku...Entah macam mana bermain semula kenangan lama yang mengusik jiwa... Berantu betui le lagu ni bagi aku...Sedar tak sedar hampir sejam aku dan family di situ.

Selepas itu aku bergerak ke pentas utama menyaksikan persembahan kebudayaan. Perghhhh Dikir Barat beb... Lama gua tak tengok dikir barat bro... Memang mantop kumpulan Dikir Barat ni. Samabil melihat kumpulan dikir barat ni membuat persembahan, terasa pulak seolah-olah aku yang sedang membuat persembahan tersebut. Terimbau nostalgia lama semasa aku begitu asyik berdikir barat semasa di UKM dulu sampaikan nasib baik tak sangkut dengan mek Palekbang.....he he

Selepas itu persembahan pelajar UPSI dengan lagu balqis...Memang mengancam sungguh suaranya... Tetapi aku lebih tertarik kepada persembahan selepas itu yang menampilkan kumpulan The Interview (Pelajar UPSI) yang menyampaikan lagu dari filem man laksa... aku tak tau nama lagunya... tapi macambunyi lagunya macam lagu koboi... Memang superb bro dia orang ni.

Aku terpaksa bergegas pulang memandangkan esok nak sekolah dan anak-anak pun dah letih... Kalau ikutkan hati memang aku nak tunggu sampai habis persembahan. Apa pun aku ucapkan tahniah kepada semua AJK KONVO UPSI kerana ada sedikit peningkatan dari sudut persembahan berbanding tahun lalu.... Keep it up bro and sis... Aku pun pernah jadi AJK Pesta Konvo, memang satu tugas yang berat untuk memastikan Pesta Konvo berjalan dengan lancar...

Sabtu, 16 Oktober 2010

Taman Cempaka @ TC


Taman Cempaka adalah merupakan sebuah pekan kecil yang terletak tidak jauh dari pusat bandaraya Ipoh. Lebih terkenal sebagai pusat photostat kerana banyak kedai yang menawarkan khidmat photostat. Taman Cempaka dikelilingi pelbagai agensi pendidikan seperti maktab perguruan (Dah pindah ke Perlis), Politeknik Ungku Omar dan beberapa buah sekolah.

Hampir setiap minggu aku dan geng-geng asrama ke sini. Kalau tak ke pekan Ipoh maka Taman Cempakalah destinasinya. Walaupun pekannya tidaklah sebesar nama namun pekannya sentiasa hidup dan sentiasa meriah disebabkan terdapat taman perumahan yang banyak dan institiusi pendidikan di sekitarnya.

Kami memanggil Taman Cempaka ini dengan shortformnya TC bukan shottorn ye.. he he jangan mare.... "Jom pergi TC" begitulah antara ayat yang popular semasa zaman tinggal di asrama. Apabila tibanya Ramadhan Pekan TC lebih meriah dengan adanya gerai-gerai yang menujual pelbagai uadah berbuka (masa tu belum ada istilah Bazar Ramadhan). Antara Juadah yang memang menjadi kesukaan aku ialah Popia Goreng yang lain daripada lain kerana rasa Popianya amat unik dengan rasa udangnya yang amat ketara.

Untuk ke TC kami hanya berjalan kaki yang hanya mengambil masa 2o minit dengan jarak perjalanan hampir sejauh 3 Kilometer. Memang best mengenangkan nostalgia lama di kejor anjing, manjat pagor waktu malam dan macam-macam lagi. TC memang menyimpan seriu satu kenangan. Ada kenangan itu hanya bermain di minda kerana tak mampu aku nak coretkan kerana kadang-kadang agak sensitif dan tak sesuai nak diterjemahkan dalam bentuk tulisan.

Manjat pagor waktu malam antara aktiviti yang peronah juga akau lakukan walaupun taklah sekerap macam Sham Mabuk and the gang yang selalu sangat manjat pagor untuk ke TC pada waktu malam. Walaupun ada asma Sham tetap gagah mengharungi cuaca sejuk waktu tengah malam dan awal pagi.

Pada waktu malam ada menu special di TC yang menjadi kegemaran geng-geng asrama. Kalau tak join manjat pagor aku hanya akan mengirim menu tersebut yang di panggil nasi goreng setengah. Hampir setiap malam ada sahaja yang keluar ke TC untuk membeli nasi goreng setengah. Kalau tak geng aku yang keluar, junior-junior aku pula yang keluar. aku tak kira siapa pun yang keluar aku akan tetap mengirim nasi goreng setengah.

Pernah juga kami memanjat pagor untuk ke Warung Wak Nasi Lemak yang amat popular Di Ipoh pada pukul 4.00 pagi. Tujuannya hanya satu untuk makan nasi lemak panas-panas dan samabl sotongnya yang sedap tu. Kadang-kadang taukehnya yang dipanggil Wak sound juga. "Pagi-pagi ni kome dari mane". seperti biasa kami akan buat pekak badak je.

Aku nak cerita tentang pagor pulak. Pagor kami memang agak spesial. Hanya mengambil masa beberapa second untuk melepasinya. Kebetulan di atas pagas itu ada dahan kayu tempat berpaut. Disebabkan pagor tersebut selalu di panjat maka pagor tersebut menjadi rendah. Pihak sekolah memang tak perasan sebabnya diseliputi rimbun pokok yang menghalang pemandangannya.

Cara nya mudah. Lari laju-laju dan capai dahan kayu..pijak sedikit di atas pagar dan terus lompat keluar dan mendarat dengan selamtnya sebelah luar pagor. Senangkan... Tapi Zam (sahabat aku) memang tak boleh melakukan aksi ini sebabnya.... he he biarlah rahsia...

Jumaat, 15 Oktober 2010

ESQ Parenting

"Susahnya jadi budak kecik..." "Susahnya jadi budak kecik..." antara lagu yang sangat mengesankan jiwa yang dipersembahkan oleh Dr. Ary dan para ATS dalam seminar Parenting ESQ baru-baru ini. Lagu ini memberi impak yang sangat besar kepada aku untuk melihat dunia kanak-kanak dari kaca mata kanak-kanak itu sendiri.
Banyak yang kita tak faham dalam dunia kanak-kanak. Bagaimana mereka ini sebenarnya mahu meluahkan sesuatu dalam bahasa mereka tetapi kita tak paham. Semakin hari perkembangan otak mereka semakin berkembang dengan sangat pesat dan pada ketika itu banyak eksperimen dan penerokaan dalaman sedang berlaku dalam minda, jiwa dan seluruh sistem tubuhnya.

Perkembangan otak mereka selari dengan perlakuan fizikal kanak-kanak yang kadang-kadang memeningkan kepala ibu dan ayah. Mereka juga kerap melontarkan pertanyaan demi pertanyan dan demi pertanyaan yang kita anggap remeh dan temeh. Sekiranya tidak ditangani dengan cara yang betul maka potensi untuk otakya berkembang dengan baik akan berhenti disitu.

Kita sering melihat tahap perkembangan tahap kebijaksanaan kanak-kanak ini amat berbeza daripada seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. Sebenarnya tahap kebijaksanaan ini boleh dibentuk semenjak anak dalam kandungan lagi. Perkara ini sebenanrnya telah diterangkan oleh Nabi Muhammad s.w.t lebih 1,400 tahun yang lalu dalam sebuah hadis Qudsi. Hanya kini barulah sains moden dapat membuktikan bahawa kata-kata Nabi Muhammad itu merupakan fakta saintifik yang tidak boleh disangkal lagi kesahihannya.

Sedang nabi mendukung seorang bayi tiba-tiba bayi itu kencing di atas baju nabi. Emaknya marahkan bayi tersebut dan cuba mengambil anaknya daripada rasulullah dengan cara yang agak kasar. Nabi melarang wanita tersebut melakukan perkara seumpama itu. Namun hikmah daripada larangan itu belum dapat diketahu secara jelas akan sebab dan musababnya larangan itu .

Hanya selepas 1,400 barulah larangan rasulullah ini dijelas secara santifik oleh Dr Illiot yang menemuinya secara tidak sengaja semasa mengkaji perkebangan otak anaknya Julia yang berusia sembilan minggu. Anaknya itu di pasangkan peranti untuk mengesan aktiviti otak dikepalanya sambil dia menysukan bayi tersebut. Amat menakjubkan wujud warna-warna yang cantik dalam kawasan tertntu di otak yang anaknya yang sedang menyusu . Namun tiba-tiba anaknya tertendang wayar peranti tersebut menyebabkan Dr. Illiot menjerit dengan kuat kepada bayinya.

Secara beransur-ansur warna-warna yang cantik tadi berubah menajdi warna biru, oren dan hilang begitu sahaja. Penemuan ini membuktikan dan membenarkan apa yang telah dinyatakan oleh nabi di dalam sebuah hadis Qudsi. Rupa-ripanya apabila kita menghalang sesuatu yang dilakukan oleh anak kita, sebenarnya kita telah mematikan perkembangan dendryt yang akan bercantum dengan dendryt yang lain.

Apabila banyaknya percantuaman dendryt berlaku menyebabkan anak anda menjadi lebih pandai dan akhirnya menuju ke tahap genius. Sebaliknya apabila dia dilarang melakukan sesuatu atau kita tidak menjawab apa yang ditanya sebenarnya kita sedang membunuh perkembangan percantuman antara dendryt.

Terasa satu tamparan yang sangat hebat kepada aku apabila kerapkali juga aku menganggap pertanyaan anak-anak ini satu perkara yang remeh yang tidak perlu dijawab dan hanya menggangu aku yang kadang-kadang sibuk melakukan pekerjaan lain. Dalam tak sedar sebenarnya aku sedang membunuh perkembangan dendryt anak-anak yang sedang membentuk horizon geniusnya.

Itu yang tak sedor meleleh ayor mata mengenangkan masa lalu semasa anak sedang membesar yang tidak boleh diulangi lagi. Banyak sangat kesalahan dan kesilapan yang dilakukan dalam mendidik anak-anak. Sedari dalam kandungan lagi anak-anak perlu dididik dengan nilai positif dan baik,,,, wallah hu alam....

Selasa, 12 Oktober 2010

ESQ PARENTING Feel The Expirience, Get A Meaningful Life


Sudah lama aku menunggu tarikh keramat 10.10.2010 untuk menghadiri program ESQ Parenting yang julung kalinya diadakan di Malaysia. Walaupun akhir-akhir ini ESQ dilanda kontroversi setelah diharamkan di wilayah, namum program ESQ terus terus menjadi pilihan rakyat Malaysia.

Dengan kahadiran panel penasihat syariah ESQ maka terjawablah semua kemusykilan yang timbul. Kehadiran pengarah SPRM Malaysia Datuk Seri Abu Kassim Mohamed sebagai salah seorang peserta yang megikuti program dari awal sehingga ke akhirnya menjadikan suntikan motivasi kepada semua peserta bahawa sebenarnya ESQ berada pada landasan yang betul.

Setakat ini aku tidak nampak apa-apa kepincangan ESQ dalam menjalankan programnya. Malahan master trainer Pak Ary Ginanjar menyatakana ubah lah apa yang salah beliau sedia menerima semua cadangan dan saranan dengan fikiran yang terbuka. Malahan beliau sedia bermuzakarah secara berdepan dengan sesiapa sahaja yang masih meragui ESQ.

Bacaan Doa Dato` Hj Nooh bin Hj. Gadot mantan mufti Johor amat menyentuh hati. Program diakhiri dengan titisan air mata Tan Sri Dato` Abdul Kader bin Talip mantan mufti wilayah persekutuan dan tokoh pendakwah yang tersohor di Malaysia. Dato` Abdul Kader Talip sempat menyatakan bahawa walaupun beliau telah menuntut ilmu agama daripada pelbagai tokoh-tokah agama di negara Arab namun tidak sama seperti apa yang disampaikan Pak Ary.

Menurutnya lagi Ilmu yang disampaikan oleh Pak Ary disampaikan dengan penuh hikmah, halus dan mampu menyentuh hati manusia. Hanya satu harapannya untuk mengangkat kembali Tamadun Islam pada landasan yang sewajarnya. Bagi yang belum mengikuti ESQ dan hanya mendengarnya dari jauh sertailah mana-mana seminar yang dianjurkan ESQ. Rasai sendiri pengalamannya barulah layak anda menilainya seperti moto ESQ "Feel The Experience, Get A Meaningful Life"
Semoga ESQ terus berkembang subur di Malaysia dan seluruh dunia. Melalui dan merasai serta terlibat secara langsung dalam seminar ESQ memang tidak terucap dengan kata-kata. Apa yang pasti rupa-rupanya apa yang selama ini dicari oleh jiwa yang kosong ini ada jawapannya dalam ESQ....Yel ESQ... Satria Esq go go go, Satria esq Fight fight fight, Satria ESQ Win Win..Esq 1...6...5... Yes..

Sabtu, 9 Oktober 2010

The Power of NLP

Bahasa mulut boleh menipu tetapi bahasa badan tidak akan akan boleh mebohongi kita. Teringat bait-bait lagu daripada Crisye yang bertajuk ketika tangan dan kaki berbicara "Akan datang hari, mulut dikunci, kata tak ada lagi" "Akan tiba masa tak ada suara dari mulut kita" "Berkata tangan kita tentang apa yang dilakukan" "Berkata kaki kita ke mana saja dia melangkahnya".
Sebenarnya lagu ini menceritakan tentang apa yang berlaku semasa kita disoal jawab oleh Allah. Mulut akan terkunci sebaliknya semua anggota badan lain akan memberi keterangan tentang apa yang telah dilakukannya di atas dunia. Body language dan lain-lain anggota badan terutamanya mata amat sukar untuk berbohong. Umpamanya di dalam NLP dengan melihat pergerakan mata hitam sahaja kita sudah boleh membongkar corak pemikiran seseorang.

Selain itu NLP juga menyarankan kepada kita untuk menjadi insan yang hebat dalam bidang yang diingini maka tirulah 100% fizikal dan emosi insan yang hebat dalam bidang tersebut. Inilah yang dilakukan oleh Trainer NLP tersohor dunia Anthony Robin apabila berjaya melahirkan penembak tepat dalam masa 45 minit sahaja. Sedangkan melalui proses biasa seorang penembak tepat mengambil masa selama 4-5 tahun untuk menjadi seorang penembak tepat yang mahir atau disebut sharp shooter.

Apa yang dilakukannya hanya dengan meniru seratus peratus apa yang dilakukan oleh penembak tepat sebenar. Gaya badan, tenungan mata dan pernafasan. Ternyata apabila 100% perlakuan fizikal dan emosi ditiru maka yang meniru akan menjadi seperti yang ditiru. Hebatkan. Begitu juga untuk mempengaruhi seseorang kita hanya perlu meniru apa yang dilakukannya pada ketika kita berbual dengannya.

Cara bercakap, cara duduk, intonasi suara dan pernafasan ditiru 100%. Dengan cara tersebut kita akan mampu mempengaruhi mereka yang berada di hadapan kita. Bagi mereka yang sering membuat sales dan inginkan closing sales yang positif cubalah cara NLP ini. Insyaallah berkesan.

Mungkin juga anda mempunyai pengalaman apabila kedatangan anda untuk berjumpa dengan orang tentu bagi menceritakan peluang perniagaan sebenarnya tidak disenangi oleh orang tersebut. Penolakan akan berlaku melalui bahasa badan apabila badannya kelihatan bergerak-gerak ke kiri dan ke kanan. Mata pula melilau ke merata tempat dan ekspresi muka mungkin hanya tersenyum hambar tanpa minat yang bersungguh. atau lebih teruk lagi mata akan berulang-ulang melihat skrin handphone. Ini menjelaskan kepada kita bahawa sebenarnya kedatangan kita amat tidak disenangi.

Oleh itu apa yang anda perlu lakukan belajarlah memahami bahasa badan. Insyaalah anda akan menang dalam setiap pertempuran....

Khamis, 7 Oktober 2010

Dunia Markonah


Agak lama juga aku tidak menulis di blog.Banyak sangat perkara-perkara dunia yang hendak diselesaikan. Minggu ni bolehlah dianggap minggu memnyiapkan kertas kerja. Kadang-kadang terasa rindu yang teramat sangat untuk menulis blog tetapi perlu mengutamakan mana yang lebih utama.

Tugas ritun berjalan seperti biasa walaupun agak sedikit kepenatan. Namun demi mendidik anak bangsa digagahkan juga kaki yang longlai untuk mengajar anak-anak didik yang sentiasa mengharapkan ilmu yang terbaik daripada gurunya.

Seperti biasa kelas hujung aku memang sentiasa meriah. Kehadiran markonah menjadikan kelas ni meriah semeriah-meriahnya. Kadang-kadang kalau markonah tak datang sunyi jugek kelas ni. Silibus semakin tiba ke penghujungnya. Peperiksaan akhir tahun juga semakin hampir.

Seperti biasa juga sebelum masuk ke kelas ini aku kena berada dalam mood ceria. Cerita-cerita jenaka dan lakonan serta idea spontan aku banyak menghidupkan mood di kelas ini. Kalau tidak memang tidor le jawabnya. Mungkin dengan cikgu-cikgunya pun lebuh..

Yang bestnya si Markonah ni akan percaya bulat-bulat setiap apa yang aku perkatakan. Mulutnya akan sentiasa ternganga mendebgar aku bercerita. Walaupun sebenarnya perkara yang aku cerita itu langsung tak logik dan banyak unsur tokok tambah. Umpamanya semasa aku mengajar subjek sejarah tentang tajuk negeri Sarawak.

Aku menrenagkan kepada pelajar-pelajar ini bahawa lebih 40,000 tahuan dulu Gua Niah menjadi tempat tinggal manusia awal di Sarawak. Untuk menambah perisa aku pun menambah sedikit fakta mengarut. Aku menambah lagi "disinilah mereka menonton astro, bermain facebook bersama-sama dan bermain online game".Suasana disini sangat hebat dan meriah.

Pelajar-pelajar lain dah mula ketawa apabila menyedari apa yang aku tambah itu hanya tokok tambah yang mengarut. Namun tidak bagi Markonah, dengan muka serius dia terus menyampuk di tambah denga rasa penuh kekaguman "oiii best le deme cikgu ada astro ye..." . Serentak dengan itu juga pelajar-pelajar lain juga ketawa dengan lebih kuat.Itu cerita Markonah 3 hari lepas.

Hari ini lagi best. Markonah antara pelajar yang belum membayar yuran sekolah. Aku bagi tahu kat dia kalau tak bayar Yuran nanti polis akan tangkap dan masukkan dalam penjara. Yang bestnya tu Markonah melontarkan soalan seolah-olah tak puas hati"Takkan saya sorang kena tangkap cikgu, patutnya deme tangkap le ayah sekali". Slepas itu Markonah bertanya lagi "selain kena penjara kena apa lagi cikgu". Aku terus menjawab menjawab denda rotan dan....

Belum sempat aku menghabiskan ayat markonah terus melontarkan lagi soalah "Cikgu ada tak kena hukum gantung" "Saya tak nak kena hukum gantung cikgu, penjara cukup le". "Tapi kesian pulakkan cikgu nanti ayah saya yang kena hukum gantung" dengan muka penuh kekesalan . Aku dan pelajar lain dah mula senyum-senyum kambing sambil menahan ketawa.

Akhirnya terhambur juga ketawa seluruh pelajar kelas tersebut. Markonah macam biasa buat dek je. Mungkin sedang memikirkan macam mana kalau dia kena penjara dan ayahnya dihukum gantung. Aku pun heran macam mana Markonah boleh berfikir sampe ke situ. Lepas ni dah tentu tak de lagi pelajar yang berani tak membayar yuran. Berat hukumannya penjara dan gantung sampai mati. Memang best le Markonah ni....

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...