Nuffnang

Pengikut

Jumaat, 25 Jun 2010

ESQ 165


Esq 165 adalah sebuah program yang mengajak kita berfikir kembali tentang tujuan kita hidup. Ia juga mengingatkan kita tentang perjanjian yang telah kita meterai dengan Allah sebelum kita dilahirkan ke dunia. Pada akhirnya kita disedarkan ke mana pengakhiran kehidupan kita setelah hidup di dunia.


Segala-galanya menuju kepada fitrah Allah. Tujuan utama kita dilahirkan ke dunia tidak lain tidak bukan ialah mengabdikan diri kepada Allah. Kita sebagai hamba mestilah memperlakukan diri kita selayaknya seperti seorang hamba. Sesungguhnya rahmat dan kasih sayang Allah itu amat melimpah ruah.


Apabila tiba bab kasih-sayang Allah ni yang aku tak boleh tahan. Kali pertama aku dapat merasa bertapa Allah itu amat kasih dan sayang kepada hambanya ini yang banyak melakukan kesalahan, melanggar peraturan dan sering melupakannya sebagai Sang Pencipta Maha Agung.


Rasa kasih sayang Allah itu meresap jauh ke lubuk jiwa yang terdalam dan aku berterima kasih kepadaNya kerana telah mendorong aku menghadirkan diri ke program ini. Mungkin inilah jalan untukNya menyedarkan aku bahawa selama ini aku amat jauh dengan fitrahnya. Aku cuba membayangkan apa akan berlaku kepada diri ini seandainya dijemput olehnya dalam keadaan diri yang masih belum beredia dan bergelumang dengan dosa-dosa. Ini yang menyebabkan Air mata mencurah-curah dan menderu-deru.


Buat pertama kali terbit rasa kasih dan sayang kepada Sang pencipta dengan sebenar-benar kasih dan sebenar-benar sayang. Kalau sebelum ini hanya mulut melafazkannya sedangkan hati tidak selaras dengan apa yang dilafazkan. Apabila Dr. Ary menyebut tentang kasih sayang kepada Nabi Muhammad. Sekali lagi hati ini benar-benar tersentuh apabila melihat Kaabah Baitullah.


Sebelum ini apabila melihat Kaabah hati tak terasa apa-apa. Sekadar melihat dengan pandangan biasa. Malahan di dalam hati ini belum terniat untuk mengunjung dan menjadi tetamu di rumah Allah ini. Tetapi apabila ditayangkan di skrin tentang Kaabah dan pergerakan manusia bertawaf pada ketika itu juga rasa seperti hendak terbang ke sana. Terasa jasad ini ingin sujud di hadapan Kaabah memohon keampunan yang bersungguh-sungguh daripada Sang pencipta.


Rasa sayang kepada manusia agung Nabi Muhammad begitu meluap-luap. Kalau sebelum ini nama Nabi Muhammad sekadar dibaca tanpa ada rasa apa-apa. Kisahnya dibaca tetapi tidak meninggalkan kesan di hati. Tetapi pada kali ini sekali lagi aku begitu sebak, tak sedar air mata tumpah menitis membasahi pipi. Hilang semua perasaan malu dan segan kepada rakan disebelah kerana rata-rata semua peserta tertunduk menginsafi kesalahan yang pernah dilakukan.


Ada juga peserta yang sujud syukur. Ada peserta yang menangis teresak-esak, meraung dan berulang kali melafazkan keampunan dan kemaafan darpada Ya Rahman. Mulanya rasa sebak ini sengaja aku tahan kerana kerasnya hati ini. Namun akhirnya segalanya tidak mampu ditahan lagi apabila hati ini amat tersentuh tetang kasih sayang Allah dan rasa sebak melihat Baitullah.


Antara perkara yang sangat menggerunkan aku apabila skrin menayangkan sekujur jenazah di usung ke tanah perkuburan. Setelah dimasukkan ke dalam liang lahad, kubur tersebut dikambus. Setelah urusan pengebumian selesai semua orang pulang. Yang tinggal hanyalah pusara sepi dan didalamnya tinggallah sekujur tubuh yang kaku seorang diri yang bakal menghitung untung nasibnya seorang diri. Baik amalanya maka kubur akan menajdi pintu ke syurga. Buruk amalanya maka kubur akan menjadi pintu neraka dan menerima azab yang amat pedih.


Disnilah aku membayangkan bagaimana sekiranya aku ditempat jenazah tersebut. Tanpa ada persediaan, tanpa ada amal yang banyak, tanpa rahmat Allah dan kasih sayang Nabi nescaya azablah hukumannya. Anak-anak yang selama ini menjadi penghibur hati ditinggalakan di pintu kubur. Isteri tersayang yang saban malam berada disebelah ketika tidur kini tiada lagi.


Yang ada di kiri, kanan dan atas hanyalah tanah. Hanyalah Tanah........ Tiada lagi teman untuk berbicara. Yang ada hanyalah kesunyian....kesunyian dan kesunyian.... . Yang ada hanyalah kegelapan.... kegelapan... dan kegelapan....... . Takut, seram, mengerikan, berdebar-debar dan jantung berdegup laju memikirkan perkara tersebut. Mampukah aku menghadapinya. Balik ke bilik hotel pada petang itu aku terus termenung dan apabila disapa oleh orang rumah aku tersesak-esak menangis.


Kali pertama hati manusia yang bongkak,sombong dan amat keras ini menangis di hadapan orang rumah. Dia agak aku yang kehairanan memandangkan tidak pernah sebelum ini aku menangis di depannya. Aku tidak mampu berkata-kata hanya tangisan yang menyelubungi bilik hotel pada waktu maghrib yang amat syahdu.....

Selasa, 22 Jun 2010

Puding Karamel dan arwah ibu


Selepas meronda satu pekan selasa, badan ini terasa amat letih. Rupa-rupanya hampir 4 jam aku dan keluarga menghabiskan masa di Pekan Selasa. Oleh kerana kaki mula lenguh aku mengambil keputusan untuk menunggu orang rumah aku di dalam kereta memandangkan orang rumah aku masih nak bershopping lagi.


Sedang aku berehat di dalam kereta yang mengadap ke sebuah kedai makan, aku ternampak seorang makcik tua sedang menghirup kuah laksanya dengan begitu bersemangat. Serta-merta fikiran aku melayang mengingatkan arwah emak aku. Kalau arwah emak aku masih hidup mungkin sebaya dengan makcik tua tersebut.


Yang menyebabkan aku teringatkan arwah emak aku ialah apabila melihat cara makcik tua tersebut menghirup kuah laksa tersebut. Macam arwah emak aku. Setiap kali aku makan di kedai bersamanya begitulah caranya menghirup makanan yang berkuah seperti laksa dan sup.


Laksa memang antara makanan kegemaran arwah emak. Itulah sebab setiap kali aku makan laksa aku akan terkenangkan cara arwah emak aku menghirup kuah laksa. Mengenangkan perkara tersebut menyebabkan tak sedar air mata bergenang. Perasaan ini muncul mungkin kerana rasa bersalah yang amat sangat kerana banyak harapan dan keinginan arwah ibu yang tak mampu aku penuhi ketika itu.


Andai kata boleh ditebus masa dan boleh diputar masa lalu memang sesungguhnya ingin aku penuhi semua kehendak dan harapan ibu. Pesanan ibu masih terngiang-ngiang di telinga aku yang mahukan aku menjadi anak yang baik dan menjaga akhlak. Namun kadang-kadang harapan besar ibu tak mampu aku penuhi. Ada masanya tindak-tanduk aku amat mengguris hatinya secara sedar ataupun tidak sedar. Ada kalanya aku memang menyedari kesalahan tersebut tetapi tetap dilakukan juga...


Apabila ibu terlantar sakit kerana stroke dan terus tidak boleh bercakap pada ketika itulah baru aku menyedari dan marasai betapa aku amat merindui dan memerlukan kata-kata keramat dan sentuhan jiwa seorang ibu. Namun segala-galanya berlaku dalam sekelip mata. Pada ketika itu barulah aku faham dan mengerti apa makna rindu saat-saat manis bersembang mesra dengan ibu. Aku baru faham dan mengerti serta menyedari tentang betapa berharganya kata-kata nasihat dan peringatan seorang ibu. Pada ketika itu juga aku baru memahami betapa tingginya nilai hilai-tawa dan kasih sayang seorang ibu.


Sroke meragut kebahagian dan keceriaan kami sekeluarga. Kalau dahulu ada ketikanya aku akan membawa arwah ibu menaiki kereta bersama aku untuk ke pekan berhampiran. Pada ketika itu nampak riak wajahnya amat gembiran. Kalau dulu kepada ibulah tempat aku meminta nasihat dan pandangan setiap kali aku menghadapi masalah . Kalau dulu ibulah orang yang akan menasihatkan aku dengan nada lembut setiap kali aku tersasar dari landasan yang sepatutnya.


Kebetulan Dia diserang stroke pada bukan puasa. Ini mengingatkan aku semasa sihatnya setiap kali Ramadhan dia orang yang paling sibuk dan bersusah payah menyediakan juadah yang menjadi kesukaan aku ketika bersahur dan berbuka. Walaupun penat, letih dan sibuk seboleh mungkin dia akan memastikan semua ahli keluarga dipenuhi kehendak dan keinginanya.


Tatkala dia tak mampu bergerak dan berkata-kata akibat serangan stoke tibalah giliran aku pula untuk mencari juadah kesukaannya ketika berbuka puasa. Antaranya Puding Karamel yang dijual di pasar Ramadhan di Medan Gopeng Ipoh. Aku sanggup memandu sejauh lebih 110 km dari sungkai ke Ipoh semata-mata untuk membeli puding karamel kesukaannya.


Apalah sangat dengan memandu sejauh 100km berbanding jasa dan pengorbanannya kepada aku. Kadang-kadang air mata ini mencurah-curah setiap kali aku menyuapkannya dengan makanan kegemarannya disebabkan sebelah badangan tidak berdaya. setiap kali menyuapkannya aku teringat semasa aku kecil-kecil bagaiman tangan ibu menyuapakan nasi ke mulut aku .Kini semuanya lenyap dan sirna apabila tidak lama selepas itu ibu menyahut seruan ilahi. .. cukup lah setakat ini aku tak mamapu nak meneruskan tulisan ini kerana hati ini begitu sebak sekali...

Apek Tua dan Tembakau potong


Minggu lepas aku dan keluarga pulang bercuti ke rumah mertua aku di Batu Kurau Perak. Kepulangan ini memang saat-saat yang aku nantikan setiapa kali cuti sekolah. Suasana tenang dan damai serta suasana rimba hijau yang melatari pemandangannya amat menyejukkan jiwa yang melihat dengan mata hati.


Setiap kali pulang bercuti ke rumah mertua aku di Kg. Jelai Batu Kurau, aku pasti tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Pekan Selasa di Batu Kurau. Memang best. Antara tempat kunjungan wajib bagi aku ialah tempat seorang apek cina menjual tembakau potong yang ditimbang. Kadang-kadang sehingga setengah jam aku berada di situ. Memang ralit memerhatikan apek tersebut memotong tembakau mengikut permintaan pelanggan sambil deria bau menikmati aroma harum daripada tembakau yang di potong.


Namun kunjungan aku kali ini ke tempat apek tersebut amat mengecewakan, apabila aku dapati apek tersebut tidak ada lagi disitu. Yang ada seorang cina muda yang sedang tekun memotong tembakau mengikut kehendak pelanggannya. Aku bertanya kepada cina muda tersebut ke mana perginya apek tua tersebut.


Dia menjawab Apek tua tersebut telah mati, kira-kira setahun yang lalu. Aku agak terkejut dengan kenyataanya. Ini bermakna hampir setahun lebih aku tidak berkunjung ke sini. Aku bertanya lagi apa hubungannya dengan 'arwah ' apek tua tersebut. Katanya dia merupakan cucu kepada apek tua yang meneruskan legacy perniagaan tembakau yang ditinggalkan oleh datuknya. Namun jumlah tembakaunya tidaklah sebanyak pada zaman datuknya.


Aku tetap juga memerhatikan cina muda tersebut memotong tembakau sambil indera bau menyedut aroma wangi tembakau yang di potong. Selepas itu aku bergerak ke destinasi wajib kedua di kedai menjual kuih. Puas mata melilau mencari seorang makcik tua yang biasanya tekun dan bersemangat menjual kuih-muihnya. Aku cuba bertanya kepada peniaga berhampiran tentang makcik tersebut. Katanya Makcik tersebut dah uzur dan tidak berniaga lagi.


Hilang seorang lagi ikon pekan selasa. Destinasi seterusnya ini selalunya merupakan desetinasi terkahir setiap kali aku ke Pekan Selasa di Batu Kurau. Iaitu warung sate. Sebenarnya satenya biasa sahaja tidaklah sesedap sate Slim River atau sate Kajang. Cuma yang menyebabkan aku terus mengunjunginya kerana lokasinya yang strategik dan dari situ kita dapat melihat ramai orang yang lalu-lalang dikiri dan kanannya serta suasananya yang riuh-rendah dan happening.


Semoga Pekan Selasa terus wujud dan kemeriahan suasananya terus bertahan untuk warisan generasi akan datang.....

Sabtu, 19 Jun 2010

Geli and Geleman

Apabila menghadiri gathering reunion antara perkara yang selalu di bincangkan ialah kenangan zaman lalu yang penuh dengan nostalgia. Pelbagai kisah suka-duka yang pernah dilalui bersama amat mencuit jiwa. Kenangan demi kenangan muncul bertali arus.

Namun ada juga kesedihannya apabila ada di kalangan sahabat-sahabat yang lebih dahulu menyahut seruan ilahi. Semoga dicucuri rahmat ke atas roh-rohnya. Namun perkara yang tidak boleh dielakkan apabila masing-masing allignment dan balancing yang sudah lari. Ada yang sangat berkembang pesat dan terus berkembang dengan sangat pesatnya.

Selalunya di akhir pertemuan ada yang akan bertukar-tukar bissness kad bagi yang mempunyai bissness. Bagi yang tak de bissness macam aku ni hanya menjadi penerima kad. Aku teringat satu insiden yang tidak boleh aku lupakan semasa majlis berbuka puasa tahun lepas di Hotel Sri Malaysia Ipoh. Peristiwa tentang bissness kad.

Sahabat aku yang sorang ni memang sudah lama lost contact hampir 20 tahun lamanya. Sekali jumpa memang riuh le. Perubahan pada dirinya amat ketara sehingga hampir tidak di kenali. Rupanya dia ni juga ada bissness kedai makan. Dengan begitu bersemangat dia bercerita perkembangan dirinya sekarang sambil bercerita tentang apa yang dilakukannya.

Akhirnya tibalah bab betukar kad bissness. Ni yang aku tak boleh tahan. Dia ni membuka sebuah kedai Tom Yam Ala Thai. Daripada dekoration kadnya memang agak up to date juga. Namun ada sesuatu yang meneybabkan selera untuk mengunjungi kedai makannya terus mati.

Kome tahu apa bendanya. Restoran Ala Thai dieja silap bunyinya begini RESTORAN ALA TAHI. Yang bestnya gambar makanan dalam kad bisnessnya juga berwarna cokelat dan iras-iras apa yang ditulisnya. Geli and geleman rasanya. Apa lagi berhamburlah gelak ketawa yang tak henti-henti... Benda kecil yang membawa makna besar......

RADIX ORIENTAL CUISINE, Sg. Petani Kedah

Pada minggu kedua percutian sekolah barulah aku dan keluarga dapat balik ke kampung orang rumah aku di Batu Kurau. Kesempatan balik ke kampung digunakan sepenuhnya untuk merehatkan minda dan badan yang memang sudah lama tidak mendapat rehat yang secukupnya.

Sebelum sampai ke rumah bapa mertua di Batu Kurau sempat juga aku singgah di Cendol Bismillah. Maklum le, lama dah aku terindu-rindu dan terbayang-bayang kesedapan rasa dan kewangian aroma cendolnya yang menusuk hidung. Puas betul rasanya dapat makan cendol kacang.


Pada hari ketiga di rumah bapa mertua aku mula teringat tetang hasrat aku untuk ke Sungai Petani bagi berkunjung ke sebuah restoran masakan cina Radix Oriantal Cuisine milik Tuan Haji Ismail taukeh HPA. Walaupun artikel tentang restoran ini telah aku tulis sebelum ini tetapi aku belum lagi dapat merasa resepi masakan cinanya.



Melihatkan dekorasi dalaman memang memperlihatkan susunannya seperti sebuah restoran cina yang sebenar. Namun yang membezakannya dengan restoran masakan Cina yang lain ialah tulisan khat ayat Al-quran yang menghisasi dinding dan tiang restorannya.


UDANG MASAK TELUR MASIN
Kami sekeluarga merupakan pengunjung pertama yang tiba di sana kira-kira pukul 1.30 tengah hari. Setengah jam selepas itu barulah semakin ramai orang yang mengunjungi restoran tersebut. Tanpa berlengah aku terus mambuat pesanan. Perut pun memang dah berkeroncong. Tak sabar rasanya nak menikmati masakan cina.

STEAMED FISH IN ASSSAM SAUCE

Aku memilih Set A yang mengandungi 4 Dishes + White rice +Herbal Tea + Mixed Fruit yang berharga RM 65.00. Kemudian di tambah dengan ketam masak telur masin dan Fried Prawn With Butter. Sementara ainya pula 2 Green apple ice blended, 1 watermelon iceblended, jus Apple, 2 Koko Radix ais dan 1 air lemon.



SIZZLING CHICKEN
4 Dishes yang aku pilih ialah Steamed Fish in Assam Sauce, Mixed Vegetable Soup, sizzling chicken dan Stir Fried Beef in mongolian style. Selang beberapa minit pelayan memberitahu bahawa ketam belum sampai lagi. Maka aku menggantikannya dengan Udang. Menu ini aku mesti order juga sebab aku pernah tengok menu di order oleh seorang celebriti dalam rancangan jalan-jalan cari makan. Kelihatan menu ini di dalam TV sangat sedap rupanya.


MIXED VEGETABLE SOUP
Sementara menunggu semua menu tersebut disiapkan sempat juga aku ke kedai sebelah yang juga milik HPA yang merupakan sebuah kedai menjual kek dan roti. Tujuannya aku hendak membeli kacang tumbuk dan kacang potong buatan orang islam yang jarang ada kat tempat aku. Sambil tu sempat juga meebali sadin keluaran HPA dan cokelat buatan HPA. Tak de was-was lagi nak makan dan menikmatinya kerana dijamin 100% Halal.

FRIED PRAWN WITH BUTTER
Apabila semua menu sudah terhidang di atas meja apa lagi tibalah saat yang di tunggu-tunggu operasi Ngap Sayot. Daripada aromanya yang menusuk hidung sudah pasti makanan cina amat enak rasanya. Selepas membaca doa kami sekeluarga memulakan perjuangan yang belum selesai.

STIR FRIED BEEF IN MONGGOLIAN STYLE
Memang sedap memang Holiyau tak dapat dibayangkan dengan kata-kata. Hanya yang boleh aku simpulkan SEDAP ..... SEDAP....DAN SEDAP........ Kalau Eric Leong selalu memberi reaksi Doubles Thumb Up dalam rancangan Casa Impian. Begitulah juga reaksi yang aku boleh berikan. Sebelum ini aku pernah makan masakan cina di restoran Amy Search dan Restoran Laksamana Cheng Ho di Ipoh . Namun aku rasa inilah masakan cina yang paling sedap antara keduanya.

Kalau ada kesempatan anda bawalah keluarga anda menikmati masakan cina di restoran ini. Anda pasti tidak menyesal. Makanannya sedap, segar dan betul-betul Holiyau.... Tak percaya cubalah....












Sabtu, 12 Jun 2010

Iban Kaum pertama memeluk Islam


Memang terhibur tengok permainan Argentina malam ni. Namun banyak peluang yang disesiakan oleh Messi. Dua watak utama yang menangkap indera mata aku ialah Messi dan Maradona. Masih terbayang gerakan cantik Maradona di atas padang dan insiden God Hand satu ketika dahulu.


Tiba-tiba semasa perlawanan bolasepak berlangsung tadi aku terkenangkan nostalgia lama kisah anak aku yang nombor tiga menjawab soalan periksa subjek agama Islam. Soalannya berbunyi begini. Tulis orang yang pertama memeluk islam bagi kategori di bawah (lebih kurang gitu la bunyi soalannya, aku pun dah ingat-ingat lupa).


1. Lelaki pertama memeluk Islam

2. Kanak-kanak pertama memeluk Islam

3. Kaum pertama memeluk Islam.


Jawapannya


1. Muhammad

2. Haikal

3. Aku simpan jawapan ni....


Jawapan nombor satu tu ok la boleh diterima juga. Jawapan nombor dua tu dia taram nama adik dia. Apabila aku tanya kepadanya mengapa bubuh jawapan Haikal. Katanya itu je nama kanak-kanak yang dia ingat. Jawapan nombor tiga yang aku tak boleh tahan. Rasa nak berguling aku gelak. kome tahu apa jawapannya? Jawapannya jeng jeng.... KAUM IBAN.


Rasanya jauh sangat menyimpang jawapannya. Macam mana dakwah nabi boleh sampai ke Sarawak. Tak wujud langsung dalam sejarahnya. Aku confius macam mana dia boleh relatekan kaum pertama memeluk Islam adalah Kaum Iban. Apabila aku tanya kepadanya bagaimana boleh muncul jawapan Iban. Katanya perkataan kaum iban selalu cikgu menyebutnya apabila mengajar. Maka apabila ada perkataan kaum mesti diikuti Iban. Ohhh begitu kisahnya dia menggunakan pengetahuan sedia ada di relatekan antara perkataan kaum dan Iban maka wujudlah jawapannya Kaum Iban.


Satu lagi kisah yang sangat mencuit jiwa aku semasa anak aku yang nombor tiga berada dalam peringkat Pra. Anak aku ni dia memang tak mendengar arahan penuh daripada cikgunya tentang apa-apa perkara yang dipesan oleh cikgu untuk disampaikan kepada ibu dan bapa. Selalu dengar perkataan yang hujung-hujung yang diberitahu oleh cikgu untuk diberitahu kepada ibu-bapa.


Apabila balik ke rumah dia memberitahu kepada orang rumah aku "Mak Cikgu suruh beli meja putih yang panjang". Orang rumah aku terpinga-pinga lalu berkata "Ha ! cuba Na ulang sekali lagi". Kali ini dengan penuh semangat dia memberitahu kepada emaknya "Cikgu suruh beli meja putih panjang".


Dalam hati orang rumah aku cikgu nak buat apa pulak meja putih panjang. Tak cukup ke meja di sekolah atau cikgu minta ibu bapa derma meja. Masih tak pasti apa yang diinginkan oleh cikgu anak aku maka orang rumah aku menyuruh anak aku bertanya semula kepada gurunya pada keesokan harinya dan minta cikgu menulis apa yang cikgu tersebut inginkan di atas sekeping kertas.



Pada keesokan harinya apabila orang rumah pulang dari sekolah anak aku dengan berkobar-kobar memberikan kertas yang ditulis oleh cikgu tentang maklumat yang tidak jelas semalam. Apabila membaca kertas tersebut tiba-tiba orang rumah aku ketawa besar. Kome tahu apa yang ditulis dalam kertas tersebut. ha ni dia apa yang ditulis cikgu anak aku "BAJU KEMEJA PUTIH LENGAN PANJANG".


Nasib baik la orang rumah aku minta anak aku menanyakan semula kepada cikgunya dan meminta dituliskan di atas kertas. Kalau tidak naya wooooo kena beli meja putih panjang. Kan jauh maksud dan benda yang diminta oleh cikgunya dengan apa yang anak aku faham. Inilah anak aku yang nombor tiga gelagat dan feelnya serta percakapannya sentiasa mencuit kami sekeluarga........ Lain yang cikgu minta lain yang dia faham..

Jumaat, 11 Jun 2010

Kemian Hantu : 6 harkat


Aku masih suka menulis di blog, walaupun kerancakan penulis-penulis blog yang lain terus menurun daripada segi kekerapan entrynya. Mungkin inilah pukulan daripada media baru laman sosial seperti facebook.


Namun bukan itu yang menjadi topik penulisan aku hari ini. Seperti biasa ruitn aku apabila berada di rumah seboleh mungkin aku akan sembahyang berjemaah bersama anak-anak. Telatah anak-anak yang masih kecil ini pula macam-macam. Seperti ketawa dalam sembahyang kadang-kadang boleh memberi kesan kepada aku yang menjadi imam di depan.


Apabila seorang mula ketawa maka yang lain akan turut ketawa. Namun masalah itu semakin lama semakin kurang cuma berlaku juga sekali-sekala. Tetapi peristiwa hari ini cukup menggelikan hati aku. Memang tak boleh tahan. Jenuh ku tahan sehingga bergegar badan. Akhirnya ketawa juga. Yang bestnya tu ia berlaku betul-betul sebelum salam rakaat akhir.


Semasa duduk di tahyat akhir aku dah dengar dah satu bunyi macam bunyi kentut. Namun tiada siapa yang bergerak. mungkin aku silap dengar. Kemudian dengar lagi bunyi kentut. Tak de siapa yang bergerak. Mungkin aku silap dengar lagi. Apabila bunyi yang mengasyikkan itu berbunyi lagi dengan kadar enam harkat maka sahlah ada yang melepaskan kemian hantu.


Anak yang bongsu dah terkekeh ketawa, diikuti anak nombor dua , kemudian diikuti anak nombor tiga. Akhirnya dengan aku-aku yang jadi imam kat depan pun ketawa. Aku cuba menahan ketawa tapi tak boleh maklumlah dah nak bagi slam dah. Tapi apa kan daya terhambur juga gelak dan ketawa kerana bunyi kentut yang penuh keasyikan dan penuh kemerduan di samping derai ketawa anak-anak.


Mulanya rasa nak marah juga. Tetapi apabila difikirkan kembali tak guna nak marah pun. Sembahyang je la balik daripada.......mula. Anda ada ke pengalaman itu?.......

Khamis, 10 Jun 2010

ESQ 165


Demi matahari dan sinarnya di pagi hari
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit beserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Allah, Subhanallah … Allah, Subhanallah
Allah, Subhanallah … Allah, Subahanallah

Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya
Merugi bagi yang mengotori-Nya ... Subhanallah


Sejak balik ESQ Triaining inilah lagu yang benar-benar mengesankan jiwa dan raga aku setiap kali mendengarnya. Lagu ini berdasarkah surah Asy-Syam yang menyingkap tentang rahsia alam yang menjadi petunjuk kepada kita semua bahawa betapa besarnya kekuasaan Allah dan Maha benarnya Allah itu sebagai pencipta sesuatu yang ada di langit dan suluruh kosmos. Lagu ini dialunkan oleh kumpulan Snada yang bertajuk Demi Matahri


Aku pun tak pasti macam mana aku boleh measuk training ni. Memang menjadi sifat semulajadi aku apabila sesuatu training itu mendapat sambutan aku akan mula bertanya dalam diri mengapa training tersebut mendapat sambutan dan pasti ada sesuatu yang istimewa kerana naluri manusia memang begitu sifatnya.


Pada mulanya aku menyangkakan training ini macam lain-lain training yang berkisar tentang leadership untuk merubah diri ke arah hidup yang lebih kaya dan bermaknan. Mula-mula aku mendaftarkan diri di Hotel Marriot Putrajaya aku mula kahairanan sebabnya ramai sangat orang yang berjubah dan berpakaian hitam. Namun aku tidak pula merasa ganjil memandangkan aku juga memakai baju hitam.


Semasa mencari parking kereta penjaga parking telah bagi hint kat aku. "Saya pun tak tau itu apa punya training, Dia taruk kain hitam banyak besar, staf hotel pun tak boleh masuk". Penjaga parking menambah lagi "Itu Menteri pun ada, dia punya nama mukriz."


Dalam hati mula berkata-kata "Hah apa pulak ada kain hitam?". Setelah selesai mendaftar aku di bawa oleh seseorang yang tag namanya bertulis ATS untuk mendapatkan tempat. Dewan Training Gelap (macam panggung wayang). Di depannya ada 4 skrin besar yang sedang menayangkan gambar Thur Sina diwaktu matahari naik. Amat indah pemandangannya sambil ada suara sedang membacakan ayat-ayat suci Al-Quran.


Dalam hati terus tertanya-tanya Trianing apa pulak macam ni ada ayat Al-quran, Dewan Gelap, Skrin besar dan effect suara yang sangat kuat. Rasa bergegar dada. Pada mulanya aku agak tidak berapa selesa dengan keadaan ini. Namun aku terus positif. Sedikit demi sedikit aku sudah boleh menangkap maksud dan halatuju Trianing ini.


Rupa-rupanya training mengajak kita untuk kembali kepada fitrah manusia dan mengenal asma tuhan. Sepanjang 3 hari ini entah berapa kali air mata ini mengalir dengan deras mengenangkan keterlanjuran masa lalu. Terasa amat kerdil diri ini berbanding dengan luasnya jajahan takluk Allah Swt...


Kebanyakan peserta yang hadir dihantar oleh syarikat, jabatan dan organisasi tertentu. Aku antara segelintir yang pergi dengan duit sendiri. Yang menghairankan aku mengapa dengan begitu mudah aku menyertai training ini tanpa mengetahui contentnya.


Selalunya setiap kali aku hendak menghadiri sesuatu training atau seminar aku akan menyelidiki dahulu tentang kandungan tarining. Mungkin kehendak ini digerakkan oleh Sang pencipta yang mengetahui jiwa hambanya yang kosong yang memerlukan inayahnya...


Sebenarnya tarining ini mengajak kita mencari sesuatu yang telah lama hilang dari dalam diri. Mengajak kita berubah dan memikirkan betapa bongkak dan sombongnya kita kepada sang pencipta. Sedangkan nikmat, rahmat dan kurniannya kita gunakan setiap hari tanpa berterima kasih kepadnya malahan kita terus melupakannya...... minta maaf aku tak boleh menulis air mata terus menitik.............

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...