Nuffnang

Pengikut

Memaparkan catatan dengan label menyentuh jiwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label menyentuh jiwa. Papar semua catatan

Rabu, 10 April 2013

Besar betul cicak ni

Melihat kanak-kanak bercakap amat menyeronokkan...Mengusik mereka juga amat menyeronokkan terutama apabila mereka membalas setiap usikan  kita. Aku cukup suka mengusik anak seorang rakan yang dibawa ke sekolah setiap kali dia habis sesi sekolah TASKA nya. Responnya tu yang kadang-kadang amat mencuit hati.
 
Hati kanak-kanak ni masih putih mulus...tak de apa dosa...apa yang dikatakan mereka memang dari hati mereka..... Teringat semasa kecil anak-anak aku juga begitu...Setiap yang dikatakan mereka kadang-kadang melucukan dan kadang-kadang menusuk ke hati juge...
 
Namun kita tak buleh le ambik hati apabila mereka berkata-kata...anggaplah ia sebagai hiburan.... Kalau diambil serius setiap kata kanak-kanak maka kita pun samalah macam kanak-kanak tersebut. Berbual dengan kanak-kanak amat mendamaikan jiwa.....
 
Ada satu cerita yang pernah dinukilkan oleh seorang sahabat aku di alam cyber...Katanya anak sedaranya amat pelat...antaranya beliau selalu menukarkan huruf J kepada huruf T. Umpanya perkataan Jahat jadi Tahat.... Perkataan Pejam jadi Petam... Pada satu hari.....Jeng-jeng..... dia melihat seekor cicak memanjat dinding. Lalu dia berkata "Ayah Cicak Pan*at dinding"...
 
Tersentak ayahnya mendengarkan apa yang dikatakan oleh anaknya....Anda cuba bayangkan apabila huruf J pada perkataan Panjat ditukar kepada huruf T....Tak sanggup aku nak menyebeutnya...Pandai-pandailah anda mentafsirkannya.......

Khamis, 21 Mac 2013

Bujang Sigat


Syok juga sesekali bercerita kenangan lama dengan salah seorang sahabat yang paling rapat dengan aku ketika ini. Pengalamannya bertugas di pedalaman Miri di Sarawak menyebabkan pelbagai cerita yang menarik, suka duka dan tak kurang  juga pengalaman tragis yang dialaminya semasa bertugas di tempat tersebut. Sekolahnya amat jauh di pedalaman. Hanya bot yang menjadi penghubungnya dengan dunia luar. Sekolah yang terletak di kawasan penduduk iban memberikan sariwarna hidup yang tidak pernah terduga dalam hidupnya.
 
Hari sukan sekolah merupakan hari pesta bagi masyarakat iban yang tinggal di kawasan berhampiran. Dua Minggu sebelum sukan masyarakat Iban disitu akan bergotong royong membersihkan kawasan padang dan kawasan yang berhampiran dengan padang. Disebabkan tiada mesin pemotong rumput maka mereka  membersihkan padang dengan cara manual. Beberapa Kawasan berhampiran padang akan ditandakan untuk didirikan  khemah yang akan dihuni oleh penduduk rumah panjang daripada beberapa kawasan rumah panjang berhampiran sekolah.
 
Selama tiga hari penghuni rumah panjang akan mendiami khemah yang didirikan  di kawasan sekolah. Beberapa khemah didirikan bagi mewakili rumah panjang masing-masing. Selama tiga hari itu selain sukan sekolah turut juga diadakan acara lain daripada pagi hingga melewati tengah malam hingga ke subuh. Acara tarik tali antara rumah panjang, pertandingan mendayung sampan panjang, bot laju dan sukaneka turut diadakan.
 
Pada waktu malam pula akan diadakan pertandingan nyanyian. Acara ini yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Jumlah peserta yang menyertai pertandingan tersebut ada kalanya  seramai beratus orang. Menyebabkan dari satu malam terpaksa disambung ke malam berikutnya. Lagu-lagu yang menjadi pilihan ialah lagu-lagu Inggeris dan lagu-lagu dalam bahasa Iban. Menurut sahabat aku ni antara lagu iban yang banyak dinyanyikan oleh peserta bertajuk "Bujang Sigat". Yang tak best tu kata sahabat aku ...dia selalu diminta jadi hakim...Pertandingan kadang-kadang sampe subuh....Pada waktu siang dia juga terpaksa menjadi hakim sukan..
 
Katanya kadang-kadang semasa mengadili pertandingan nyanyian tersebut sampe tertidur dengan nyenyaknya....Kadang-kadang peserta terpaksa mengejutkan hakim yang tidur nyenyak untuk mengadili nyanyian mereka.Disebabkan selalunya dia menjadi hakim nynyian kadang-kadang Pertandingan nyanyian yang diadakan di tempat lain pun dia juga dijemput jadi hakim. Jemputan amat special kerana dia akan dijemput dengan sampan panjang untuk ke tempat pertandingan. Sahabat aku ni pulak sebenarnya amat buta seni...menyanyi pun memang tak buleh....Katanya hantam je la untuk menjaga hati orang kampung..... Alahai Bujang sigat....Mahalnya pengalaman itu.....

Sabtu, 8 Januari 2011

Aku, Ibu dan Burger...Medan Kit ipoh


Kenangan lalu amat indah untuk diingat. Mana mungkin aku melupakannya kerana itulah detik emas aku bersama insan yang amat aku sayangi. Walaupun insan itu telah lama meninggalkan aku namun kenangan bersamanya kekal dalam neuron yang telah mengakar dalam minda aku.


Setiap detik bersamanya seolah -olah baru semalam berlaku. Daripadanya aku mengenal dunia, belajar sesuatu yang baru dan merasai nikmat agong asma Allah iaitu kasih sayang. Aku masih ingat lagi pada suatu hari aku berada di atas sebuah bas di Medan Kit Ipoh.


Ketika itu aku dan ibu sedang berada di dalam bas untuk pulang ke Kampong setelah menziarahi saudara di Ipoh. Jadual perjalanan masih lama lagi tetapi ibu mengambil keputusan utnuk menunggu di dalam bas.Daripada jendela bas aku melihat sebuah stall orang menjual makanan yang agak asing bagi aku (Burger). Tidak putus-putus orang mengunjungi gerai tersebut


Aku kehairanan kerana pada waktu itu sebagai seorang budak kampung adalah sesuatu yang asing melihat gerai seumpama itu dan menjual makanan seumpama itu. Ditempat aku memang tidak pernah aku jumpa gerai seperti itu(lewat 70-an). Melihat daripada cara mamat tu masak makanan tersebut aku dapat membayangkan kesedapan makanan yang dimasaknya.


Ibu yang berada di duduk di sisi aku seolah-olah mengerti keinginan seorang insan yang bernama anak. Perlahan-lahan dia membisikkan kepada aku "Kejap ya mak nak turun kejap". Daripada jendela bas aku melihat ibu menuju ke gerai tersebut. Tidak lama selepas itu ibu naik semula ke atas bas sambil membawa satu bungkusan.


Di dalamnya ada dua bungkusan makanan bersalut tisu berwarna merah. Dari baunya aku dapat mengagak pasti makanan ini sedap. Aku pun bertanya "Mak ni apa namanya?" Dengan penuh kasih sayang ibu menjawab "Ini le burger yang ee(nama aku) tengok tadi" Rupanya ibu memerhatikan gelagat aku yang menyaksikan orang memasak burger dengan penuh minat.


Aku dan ibu sama-sama makan Burger dengan penuh berselera. Hari tersebut merupakan hari yang sangat indah dan menggembirakan bagi aku. Ternyata memang sedap Burger tersebut. Daripada ibulah aku mula mengenali Burger dan pandai makan Burger. Setiap kali anak-anak aku masak burger di rumah atau membeli burger di luar kenangan aku dan ibu makan burger pada hari tersebut datang bertali arus ke kotak fikiran.


Burger mengingatkan aku tentang kasih sayang seorang ibu. Burger mengingatkan aku tentang keprihatinan seorang ibu. Burgernya juga mengingatkan kenangan terindah aku bersama ibu. Terima kasih ibu kerana pada hari tersebut mengajar aku tentang suatu perkara baru dalam hidup aku.


Kini peristiwa itu hanya mampu dikenang. Entah mengapa malam ini aku rinduuuuuu sangat dengan suasanan itu. Aku rinnddddduuuu sangat pada saat dan suasana ketika aku makan burger bersama ibu. Mahu sahaja aku ulangi saat indah tersebut. Kini kasih sayang itu hanya dapat ku kenang... walaupun ibu telah lama meninggalkan aku, kini warisan kasih sayang ibu itu aku titipkan buat anak-anak aku yang masih dahagakan kasih sayang seorang ibu dan ayah....


Mahu sahaja aku laungkan di tengah malam yang sunyi ini yang aku amat-amat dan amat merindui kasih sayang itu.......... ibu........

Selasa, 7 September 2010

Seperti Curut dan arwah opah

Rendang ayam merupakan antara favourite dish aku. Sedari dulu makan lemang tanpa rendang ayam memang terasa tak sempurna hari raya beb. Kecintaan aku terhadap lemang dan rendang ayam memang tidak berbelah bagi. Lemang dan rendang ayam ini bagai aur dengan tebing, bagai isi dengan kuku dan mungkin juga seperti India dan Taj Mahal atau seperti curut dan arwah opah aku (Penggemar curut tegar) yang memang tak boleh dipisahkan.


Setiap kali menyambut hari raya arwah emak aku memang tidakak miss akan masak rendang ayam istimewa untuk aku. Sehinggakan aku dapat menghafal resepi masakan rendang emak aku hingga kini. Kalau digerak secara mengejut waktu tengah malampun nescaya aku akan dapat menyebut senarai bahan-bahan untuk membuat rendang satu persatu.


Setiap tahun sekiranya beraya dirumah Ayah aku, aku pasti akan membuat rendang ayam persis seperti rendang ayam arwah emak. Namun sudah pastilah tidak sama seratus-peratus seperti rendang arwah emak aku. Yang tak bestnya tu setiap kali nak makan rendang ayam ni setiap kali itu perasaan hiba yang bercampur baur mengenangkan arwah emak aku bertalu-talu hadir dalam kotak fikiranku.


Kadang-kadang secara tidak sedar dan tidak dapat di kawal air mata berjurai dari pipi ibarat seperti butir-butir permata jatuh setitis demi setitis. Aku dapat membayangkan betapa sibuknya arwah ibu pada setiap hari raya menyediakan rendang kegemaran aku. Aku juga tidak ketinggalan membantunya menghiris serai, bawang dan menghiris daun kunyit halus-halus.


Setelah semua bahan disiapkan kadang-kadang aku diberi peranan untuk menumis bahan-bahan yang telah dihiris dan di blander halus. Apabila semua bahan telah pecah minyak santan akan dimasukkan. Setelah santan pecah minyak dan mengelegak barulah ayam dimasukkan. Satu demi satu bayangan saat-saat indah bersama arwah ibu datang menjelma setiap kali hendak menyambut syawal.


Terdengar sahaja takbir raya jiwa ini lebih meruntun. Semasa inilah terasa jauh hati ini, sayu hati ini dan terasa kehilangan yang amat sangat. Selalu aku ibaratkan diri ini umpama buih-buih halus yang hanyut semakin jauh dan semakin jauh ke muara sungai. Pandangan terhadap buih hilang sedikit demi sedikit dari pandangan.


Kadang-kadang hati ini terasa seperti puing-puing kaca halus tatkala terhempas ke lantai. Betapa remuk dan redamnya hati ini melihat orang lain yang masih dapat menagih kasih ibu dipagi aidilfitri. Melihat mereka mengucup tangan ibu.Yang paling memilukan aku apabila melihat cucu-cucu mencium tangan opah masing-masing.


Anak-anakku tidak lagi dapat merasa lagi nikmat kasih dan sayang seorang opah seperti cucu-cucu opah yang lain. Hanya seketika mereka bersama opahnya. Itupun tatkala mereka terlalu kecil untuk memahami apa yang dimaksudkan nikmat kasih sayang seorang insan bernama Opah. Rasanya opahnya juga belum merasa puas merasa nikmat mempunyai insan-insan yang bernama cucu. Segalanya berlalu terlalu pantas. Dalam keadaan tidak disangka-sangka dia pergi menymbut seruan ilahi.


Bagi diriku yang ada hanyalah kenangan yang aku ulang-ulang dalam kotak pemikiran. Sedikitpun tidak pernah jemu aku mengulanginya. Kalau boleh biarlah kenangan itu terus mekar sehingga ke akhir hayatku. Sesungguhnya aku amat menyayangi arwah ibu....Minta maaf tak boleh nak sambung dah..... deraian air mata menyekat jari-jemari daripada mengetuk papan keyboard ini..

Isnin, 16 Ogos 2010

Puding Karamel dan Arwah ibu

Puding Karamel Kegemaran arwah ibu
Susana puasa zaman semasa kanak-kanak dan kini amat berbeza suasananya. Dahulu tidak ada istilah Bazaar Ramadahan. Yang ada hanyalah 1 atau 2 buah gerai menjual kuih. Kuihnya pula adalah kuih tradisi seperti badak berendam, epok-epok, karipap, pulut udang dan yang seumpama dengannya.
Tidak ada istilah kebab, agar-agar pelbagai warna, puding karamel, totilla, dim sum dan sebagainya. Tambahan bagi mereka yang duduk jauh nun pedalaman gerai kuih pun tak de dalam kamus hidup. Semuanya perlu dibuat sendiri.

Setiap kali bermulanya puasa emak aku akan membuat kuih epok-epok untuk diletakkan di gerai kuih kawannya. Kadang-kadang habis jualannya. Kadang-kadang tak habis semuanya bergantung kepada rezki. Untuk juadah berbuka puasa kami sekeluarga arwah emak akan membuat pelbagai kuih tradisi. Antara kuih yang paling aku ingat ialah kueh sui yang akan mengeluarkan bau kentut apabila dikukus.

Antara kueh lain ialah pulut udang, seri muka, abuk-abuk, kueh koci,putri mandi, limas dan pelbagai jenis kuih tradisi yang aku sendiri tak berapa ingat nama-namanya. Semasa itu aku tidaklah berapa teruja dengan kuih-kuih seumpama itu kerana saban hari dalam bulan puasa aku menikmatinya.

Kini setelah arwah ibu tiada baru aku rasakan kehilangannya. Kini baru aku menghargai dan berbangga sebenarnya ibu mempunyai bakat membuat kuih yang amat tinggi nilai estitikanya. Terasa rindu sangat untuk merasa kuih-kuih tradisional yang dibuat ibu. Aku rindu hendak merasa kuih tradisi yang dibuat ibu. Apabila terasa ingin memakannya aku akan mencarinya di mana-mana Bazzar Ramadhan.

Namun indeks KPInya sudah tentulah tidak mencapai standard seperti kuih yang dibuat ibu. Kuih ibu ada nilai sentimentalnya. Namun dengan membeli kuih-kuih tradisi di Bazzar Ramadhan cukuplah rasnya untuk melepas rindu kepada kuih-kuih yang dibuat ibu. Selalu aku berpesan kepada anak murid aku bertuahlah bagi merea yang masih ada ibu.
Apabila teringin makan sesuatu anda inginkan anda boleh minta ibu anda membuatkannya. Bagi mereka yang tiada ibu hanya mampu mengenang makanan yang pernah menjadi kegemaran dan mengenang kuih hasil air tangan ibu hanya dalam kenangan dan bayangan.

Setiap kali Ramadhan juga aku akan terkenangkan kuih kegemaran ibu di kala penghujung hayatnya iaitu Puding Karamel yang dijual di pasar Ramadhan Medan Gopeng di Ipoh. Setiap kali merenung Puding Karamel aku terbayangkan betapa berseleranya ibu setiap kali aku menyuapkannya di dalam mulut ibu.
Memandangkan ingatan dan kekuatan tangannya hilang akibat Stroke, maka setiap kali makan puding karamel aku akan cuba sedaya upaya untuk menyuapkannya. Setiap kali kenangan ini datang setiap kali itulah air mata aku menderu-deru turun tanpa dapat di tahan lagi.

Mata ibu hanya merenung sayu. Renungannya jauh dan dalam sekali seolah-olah dia sudah mengerti puasa kali ini adalah yang terakhir untuknya didunia. Aku tak tahu apa yang tersemat dilubuk hatinya. Mulutnya terus terkunci tidak mampu berkata-kata lagi akibat dahsyatnya serangan stroke.
Pada ketika itu barulah terbit perasaan rindunya pada suara arwah ibu. Rindunya kepada kuih-kuih tradisi yang dibuat ibu. Namun segala-galanya sudah menjadi ketentuan ilahi. Wallahu alam.....

Sabtu, 8 Mei 2010

Rindunya aku pada arwah ibu


Mengharungi Ramadhan Al-Mubarak tanpa seorang insan yang bernama ibu amat sukar rasanya. Rasa kehilangan yang amat sangat terpendam dalam lubuk hati yang amat dalam. Suara hati ini seakan-akan ingin menjerit meminta agar saat-saat manis bersama ibu kembali walau hanya untuk seketika.

Kalau dulu setiap kali Ramadhan pasti ibu akan menyajikan juadah kesukaan aku. Kadang-kadanng aku minta ibu untuk membuat makanan kegemaran aku. Puas rasanya dapat rasa air tangan ibu. Ibu juga puas melihat anaknya makan juadah kegemarnnya.

Menjelang detik-detik menyambut lebaran ibu sibuk menbuat aneka kuih dan biskut. Aku selalu menolongnya untuk membakar dan menguli serta menyedikan bahan asas sama ada kuih atau biskut. Tahu jugalah aku macam mana nak buat kuih semperit, bahulu, kuih goyang, putu kacang dan sebagainya.

Suasana ini yang aku amat rindukan sebagai seorang anak. Kadang-kadang aku berharap kalau tidak di dunia nyata, tuhan jelmakan saat-saat indah itu di dalam mimpi. Sesungguhnya aku amat merindui suasana itu.

Apabila balik ke rumah ayah melihat pinggan-mangkuk, senduk, kuali, pembacuh kek benar-benar membuatkan hati aku sayu. Terasa jauh sangat hati ini seumpama air sungai yang bergerak jauh menuju ke kuala.

Belum lagi aku melihat baju-baju lama yang pernah di pakai ibu. Ya Allah lebih memilukan hati ini dan bisa menumpahkan air mata. Tat kala aku menulis artikel 2 ke 3 kali aku sebak. Tak semena-mena air mata terus bergenang mengenangkan seorang insan agong yang bernama ibu.

Sejenak aku berada di rumah ayah aku sentiasa terbayangkan arwah ibu aku yang sedang memasak, mengemas rumah dan membayangkan mukanya yang sedang tidur keletihan setelah seharian bekerja.

Sebagai anak kadang-kadang aku terlupa mengucapkan sekalung penghargaan atau paling tidak ucapan terima kasih kepada ibu yang telah bersusah payah menumpahkan sepenuh kasih-sayangnya kepada seorang anak.

Hanya setelah ketiadaannya di dunia ini barulah kita tersedar betapa besar jasa dan pengorbanan seorang ibu. Barulah aku faham betapa betapa sayangnya ibu kepada aku Setelah ibu menutup mata buat selama-lama meninggalkan aku barulah teman-teman rapat ibu membisikkan ke telinga aku "Ri makcik tak tau nak cakap macam mana sayangnya emak kamu pada kamu". Setiap kali aku berjumpa dengan kawan baik ibu inilah antara kalimat keramat yang diucapkan pada aku.

Mujurlah di saat dia menghadapi sakratul maut aku sempat memohon ampun dari hujung rambut ke hujung kaki. Entah berapa ratus kali aku memohon maaf dan air mata sentiasa berjujuran setiapa kali aku memohon keampunan. Setiap kali aku memohon maaf pasti setiap kali ibu akan menutup rapat matanya seoalah-olah dia memberi isyarat bahawa dia memaafkan aku memandangkan dia dah tak boleh berkata-kata kerana stroke.

Sehingga menghembuskan nafas terakhir dia menggenggam erat tangan aku. Terasa sedikit demi sedikit gemgaman tangannya semakin lama semakin lemah sehingga lah dia disahkan meninggal oleh seorang doktor. Dan aku terpaksa menerima hakikat yang aku sudah kehilangan seorang ibu yang amat aku sayangi. Kini aku terpaksa berdikari mengharungi hari-hari mendatang tanpa seorang ibu yang selama ini menjadi pelindung dan tempat aku mengadu nasib serta mencurahkan kasih-sayang...........

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...