Bersalaman adalah rutin rumah orang kenduri kahwin. Jumpa je orang mesti salam. Apatah lagi yang kita kenal.Termasuklah bersalam dengan emak sedara aku yang sorang ini. Kalau tadinya semua tangan-tangan yang aku salam rasanya biasa. Tetapi tangan emak saudara aku ini luar biasa kasarnya.
Macam ada duri tumpul yang menyucuk tangan. Kasar betul telapak tangannya. Ada satu perasaan yang tak dapat aku nak jelaskan selepas aku bersalaman dengan dia.Sedih campur hiba campur simpati. Sebab aku mengenangkan dengan tangan kasar itulah dia bersama suaminya bekerja berhempas pulas siang malam membesarkan anaknya yang ramai.
Macam-macam kerja yang dilakukan bagi mengisi perut anak-anak yang sentiasa lapar dan belum mengerti erti kesusahan. Malahan sampai ke hari ini pun hidupnya masih dibelenggu seribu kepayahan dan penderitaan. Tiada erti kesenangan dalam kamus hidupnya.
Kalau tak kerana ramainya orang di rumah kenduri nescaya aku telah menumpahkan air mata jantan aku. Kerana kuatnya bekerja, kerana kuatnya membanting tulang dan kerana kuatnya mencari rezeki untuk mengisi perut anak-anak dia rela tangan yang asalnya halus dan mulus menjadi kasar seumpama kerikil dan duri tumpul.
Kasar tangannya adalah menifestasi betapa kuatnya azam dan semangat untuk mengenyangkan anak-anak. Kalau pun tidak didunia ini dia senang aku mendoakan di akhiratlah untuk dia menuai semua hasil semaian di dunia atas usaha dan kebaikannya membesar serta membesarkan anak-anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan