Perubahan kecil membawa makna besar 6
Sebelum menyambut Ramadhan al-Mubarak baru-baru ini, anak aku yang nombor tiga ini mengalami batuk yang berterusan. Hampir dua minggu dia batuk. Walaupun bermacam ubat batuk yang telah di makan namun seolah-olah tiada kesan.
Aku mengambil keputusan untuk membawanya ke sebuah klinik di pekan berhampiran. Memandangkan pada waktu siang aku agak kesuntukan masa maka aku mebawanya pada waktu malam.
Agak malang sedikit kerana regular klinik yang biasa aku pergi tutup. Di sebelah regular klinik tersebut terdapat sebuah lagi klinik yang aku sendiri tidak pernah mendapatkan rawatan di sini. Oleh kerana ini sahaja pilihan yang ada maka aku terpaksa membawa anak aku ke sini untuk mendapat rawatan.
Orang memang agak ramai. Pelbagai bangsa mendapatkan rawatan di sini seperti orang melayu, Cina, India, Banggali he dan juga buruh-buruh Indonesia. Oleh kerana aku tiba agak lewat maka aku mandapat giliran yang akhir.
Aku agak teruja dan terbit pelbagai soalan di dalam pemikiran mengapa klinik ini menjadi pilihan masyarakat setempat dan mat-mat Indon. Mendengar harga-harga ubat yang disebut oleh pembantu doktor semasa pelanggan mendapatkan ubat dikaunter klinik tersebut rasanya harga perkhidmatnnya dan ubatnya agak mahal berbanding denga kos yang dikenakan oleh lain-lain klinik.
Sedang menunggu giliran hampir dua ke tiga kali aku ke tandas klinik. Ada sesuatu yang menarik perhatian aku iaitu hiasan tandasnya. Berada di dalam tandas tersebut seolah-olah kita berada di rimba hijau yang sangat mendamaikan. Di bucu dinding tandas digantung daun hijau plastik yang berjurai menghala ke bawah.
Di bawahnya diletakkan pokok bunga hijau. Dengan sedikit sentuhan sahaja suasana tandas berubah menyebabkan setiap kali kita masuk ke tandas tersebut kita berasa seperti berada di dalam rimba hijau.
Apabila berada di dalamnya kita berasa amat selesa dan damai. Itu yang menyebabkan aku dan anak silih berganti masuk ke tandas. Setelah menunggu hampir dua jam maka tibalah giliran anak aku mendapat rawatan. Dipintu masuk ke bilik rawatan aku dan anak aku di sapa dengan mesra oleh doktor tersebut.
Betapa terasa bangganya dan gembiranya hati ini apabila kehadiran aku dan anak dirai oleh seorang doktor yang menyambut kedatangan pesakitnya dengan sapaan dan senyuman yang sangat mesra dan ikhlas.
Anak aku di periksa dengan bersungguh-sungguh. Tergambar kesungguhannya merawat anak aku daripada gerak lakunya yang terpancar pada mukanya yang sentiasa menguntum senyuman . Patutlah klinik ini menjadi pilihan masyarakat setempat walaupun harganya sedikit mahal.
Walaupun tidak menawarkan MC yang boleh bayar di kaunter tanpa berjumpa doktor namun pelanggan terus memilih klinik atas dua faktor di atas. Susah rasanya hendak mendapat layanan seumpama ini daripada lain-lain klinik yang pernah aku pergi sebelum ini.
Satu lagi perkara yang aku amkat suka ialah setiap pertanyaan aku dijawab dengan begitu bersungguh-sungguh dan jawapannya sangat memuaskan hati aku. Berbanding dengan doktor di sebuah klinik yang selalu aku pergi sebelum ini hanya menjawab soalan aku sekadar melepaskan batuk ditangga. Kadang-kadang jawab pun macam hendak tak hendak je. Sedangkan kita inginkan penjelasan tentang penyakit yang kita hidapi.
Kadang-kadang dengan jawapan yang memuaskan hati sudah mampu meringankan sedikit sakit yang kita tanggung. Sakit ada juga kaitannya dengan gangguan emosi dan energy dalam tubuh. Sekiranya emosi kita gembira dan mendapat sesuatu yang menyenangkan hati ia juga membantu dalam proses penyembuhan penyakit.
Sekali lagi perubahan kecil yang dilakukan oleh doktor tersebut terhadap tandas dan keunikan caranya melayan pesakit memberi makna yang besar kepada pelanggannya untuk datang kembali ke kliniknya walaupun harga yang dikenakan agak tinggi sedikit berbanding klinik-klinik yang lain...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan