Nuffnang

Pengikut

Rabu, 18 Ogos 2010

Marahkan TV


Melihat anak-anak berpuasa sangat menyeronokkan. Tambahan pula pada tahun ini semua anak-anak telah mampu berpuasa penuh. Anak aku yang kecil sekali sehingga ke hari ini masih belum meninggalkan puasanya.

Kadang-kadang agak kasihan juga aku melihatnya kerana pada waktu pagi mereka bersekolah di sekolah kebangsaan dan pada waktu petang mereka bersekolah di sekolah agama rakyat. Apabila pulang daripada sekolah agama rakyat masing-masing keletihan dan melepek.

Sebagai galakan dan tanda penghargaan terhadap anak-anak yang berpuasa maka setiap petang sebelum pulang ke rumah pasti aku akan singgah di mana-mana gerai menjual kuih untuk membeli juadah dan air minuman kesukaan mereka. Biasanya menu pilihan mereka ialah coconut shake, air tebu atau air soya. Sementara kuih pula ialah popia, kuih lopeh, karipap atau pulut udang.

"Ayah tadi kawan Haikal kan dia korek hidung kat sekolah, Batalkan ayah?" Aku hanya mendiamkan diri. Namun dia terus bersuara "Tapi kan kawan Haikal korek hidung sorok-sorok dan dia pesan kat Haikal jangan bagi tahu kawan yang lain dia korek hidung" Agak bersungguh-sungguh dia memberitahu rahsia sulit kawannya kepada aku.Mungkin baginya rahsia ini sangat besar dan setaraf dengan rahsia yang di pegang oleh ejen KGB dan 007. Aku hanya menganggukkan kepala.


Setiba di rumah biasanya anak aku yang bongsu ini akan berbaring di depan TV sambil melihat rancangan kegemarannya. Tiba-tiba dia bersuara "Apa la TV ni asyik tunjuk makanan je, tunjuk le benda lain". Kelihatannya marah betul anak aku dengan TV tersebut. Memang tergambar di wajahnya perasaan tidak puas hati.


Jarang anak aku yang bongsu ni marah-marah kerana sifatnya lebih cool dan rileks daripada anak-anak aku yang lain. Apabila melihat dia marahkan TV memang sesuatu yang agak melucukan bagi diri aku. Mungkin ada dua sebab. 1. Mungkin dia tak tahan melihat kelazatan makanan di dalam TV tersebut. 2. Ataupun dia marah sebab perutnya yang memang sudah lapar.

Aku dan orang rumah yang sedari tadi memerhatikannya tersenyum sambil orang rumah berbisik kepada aku "Abang lihat Haikal tu dia marahkan TV sambil mebebel-membebel seorang diri sebab tak puas hati TV menayangkan makanan". rupanya anak aku yang bongsu ini tidak sedar yang gelagatnya merahkan TV diperhatikan oleh aku dan orang rumah. Begitulah gelagat anak aku yang bongsu ini mengharungi ibadat puasa di bulan Ramadan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...