Nuffnang

Pengikut

Isnin, 17 Ogos 2009

Kg Buah Pala Vs Kg Ladang

Sumbangan Artikel : Razali Awang

Kecoh memang kecoh.

High Chapral @ Kampung Buah Pala di Pulau Pinang gegak gempita menjadi tajuk utama akhbar dan Buletin Utama.

Kampung yang majoriti dihuni penduduk keturunan India tiba-tiba mendapat perhatian dan diberi gambaran seolah-olah mereka ditindas dek pembangunan. Pelbagai versi dan persoalan dibangkitkan berhubung isu apabila mereka diarahkan keluar dari tanah yang diduduki.

Secara logik, adakah mereka pemilik tanah yang sah? apa yang membolehkan hak mereka dilndungi dari sudut perundangan? Adakah penjualan tanah kepada Koperasi Kakitangan Kerajaan Pulau Pinang melanggar undang-undang sekaligus mencabar Kanun Tanah Negara?

Jelas, dek politik ia menjadi polemik. Aku tidak memihak kepada mana-mana parti siasah. Tetapi luahan ini disuarakan kerana khuatir, atas nama kepentingan politik kebenaran terpaksa disembunyikan dan lebih dari itu ia perlu dikorbankan.

Penutup Buletin Utama minggu lalu menyiarkan titisan air mata penduduk Kampung Buah Pala, mengapa ini perlu ditonjolkan. Sejujurnya aku melihat apa yang diketengahkan tidak lebih hanya drama bagi meraih sokongan masyarakat India, satu umpan untuk memancing undi pada pilihanraya akan datang. Dalam isu ini, ke mana pergi parti parti politik kaum India yang menjadi komponen Barisan Nasional. Ke mana pergi Samy Vellu, M Kayveas dan ramai lagi.

Apakah UMNO perlu dikorbankan untuk kepentingan bangsa lain? Adakah UMNO khususnya di Pulau Pinang berada dalam keadaan kuat sehingga boleh menjadi jagoan membela bangsa lain?

Hentikanlah permainan sorong papan tarik papan. UMNO perlu pulang ke wadah, menjadi payung yang melindungi kepetingan umat Melayu. Jika tidak, ramai yang akan cuak dan muak.

Bagi aku, tragedi pengambilan tanah di Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu sewaktu pentadbiran Deris Jusoh, tiada siapa peduli. Mereka pemilik tanah yang sah. Ada geran dan bukannya menumpang. Tetapi tangisan mereka tidak diendahkan.

Lebih dari itu mereka, daripada 17 keluarga yang diambil tanah, sebahagiannya terdiri daripada Kerabat Terengganu, Pahang dan Riau-Lingga. Tanah berkenaan adalah kurniaan Almarhum Sultan Zainal Abidin dan Almarhum Sultan Sulaiman kepada kaum kerabat.

Dan pastinya keluarga aku tidak terkecuali.

Rumah Tengku Langgi , Tengku Yusuf dan Tengku Wook terpaksa dikorbankan untuk membina taman permainan setelah kawasan berdekatan dibangunkan blok kondominium.

Ketika menziarahi Mok Ku Wok dapat aku bayangkan kekecewaannya kerana diusir. Mata beliau berkaca. Hal ini dipanjangkan ke istana termasuk ke pengetahuan keluarga Diraja Pahang. Kemudian Tuanku Mizan juga diberitahu, tetapi ia terlambat. Apapun selepas dimaklumkan, ia menambahkan lagi kemurkaan Tuanku setelah kaum kerabat diperlukan seperti hamba dina.

Ketika itu, di mana peranan parti Melayu yang selama ini melaungkan perjuangan membela dan melindungi kepentingan orang Melayu. Pernahkah kisah mereka didedahkan secara mendalam di media arus perdana? Kenapa ia menjadi seolah-olah isu terpinggir?

Sepatutnya pada masa itu, pemimpin UMNO, tidak kiralah ketua cawangan waima bahagian perlu menjadi jaguh, bukanya pak sanggup. Biar berani berdepan dengan kepimpinan Deris yang ketika itu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Sekarang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kononnya ingin mengambil saki baki kawasan Melayu di Kampung Ladang atas tujuan pembangunan. Aku nak tengok sama ada ia akan menjadi isu sehangat Kampung Buah Pala atau sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Bila difikirkan, pemimpin Melayu yang kemaruk kuasa dan harta bukannya membela, tetapi memusnah dan mengkhianati bangsa.

Pembangunan sepatutnya mengekalkan yang sedia ada dengan memperkaya yang baru. Pembangunan bukan bermakna memusnah apa yang diwarisi dan menjadi hak kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...